SYARIKAT penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Malaysia, AirAsia, merancang melancarkan lebih banyak penerbangan dari Singapura ke Indonesia pada separuh kedua tahun ini sebagai sebahagian usahanya untuk meluaskan rangkaian penerbangannya ke negara-negara Asean.
Syarikat itu juga menerima maklum balas yang sangat baik bagi promosi penerbangan ke Jakarta, Bali, Bandung dan Yogyakarta yang dilancarkan bulan lalu.
Mengumumkan demikian semasa sidang media di Little Bali Lifestyle Resort semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Indonesia AirAsia, Encik Dharmadi, berkata:
'AirAsia merancang menawarkan penerbangan ke empat destinasi lagi di Indonesia dari Singapura iaitu ke Medan, Surabaya, Semarang dan Balikpapan. Penerbangan ini dijangka dilancarkan selepas Julai nanti dan kami yakin ia akan mendapat sambutan yang baik.'
Menurut Encik Dharmadi, lebih 50,000 tiket percuma telah direbut oleh para pelancong semasa promosi penerbangan ke empat destinasi Indonesia yang bakal bermula pada 24 Mac ini.
'Sambutan yang sangat menggalakkan bagi laluan penerbangan baru di antara Singapura dengan Indonesia merupakan isyarat positif bagi masa depan. Meskipun keadaan ekonomi sejagat suram, AirAsia akan terus meluaskan rangkaian laluan penerbangannya. AirAsia yakin bahawa dengan harga tambang rendah serta khidmat penerbangan yang baik, laluan penerbangan yang baru ini akan menjadi popular,' ujar Encik Dharmadi.
Mengenai sasarannya, beliau berkata AirAsia berharap mengisi 80 peratus daripada jumlah penerbangan baru yang ditawarkan tahun ini. AirAsia akan mengendalikan enam penerbangan setiap hari ke Jakarta, Bandung, Bali dan Yogyakarta.
Tahun lalu, jumlah pelancong Singapura merupakan kumpulan pelawat yang terbesar di Indonesia, iaitu sekitar 1.4 juta.
Encik Dharmadi menambah bahawa dengan keadaan ekonomi sejagat yang muram ini, para pelancong akan memilih untuk ke tempat-tempat yang lebih dekat seperti di Asia, manakala lebih ramai penumpang juga akan melancong dengan menaiki syarikat penerbangan tambang murah.
Ketua Komersial Serantau AirAsia, Cik Kathleen Tan, berkata selain hab utamanya di Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta, Singapura kini merupakan hab maya yang berperanan sebagai jambatan untuk menghubungkan Asean dengan rantau lebih besar bagi merapatkan jurang hubungan sosial dan ekonomi.
Tuesday, March 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment