Pages

Tuesday, March 3, 2009

SISWA TIKAM PROFESOR

SEORANG pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Nanyang (NTU), memasuki pejabat profesornya kemudian dikatakan menikamnya dengan pisau.

Akibatnya, Profesor Madya Chan Kap Luk, cedera di belakang dan lengannya.

Pelajar yang berasal dari Indonesia itu terus meluru keluar dari pejabat Profesor Chan di tingkat enam dan dikatakan terjatuh daripada bumbung kaca jambatan penghubung, yang terletak di tingkat empat, di Blok S1 NTU itu.

Dia juga dipercayai telah mengelar pergelangan tangannya sebelum terjatuh.

Kejadian ngeri dan menggemparkan itu berlaku di Fakulti Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (EEE) universiti tersebut, sekitar 10.30 pagi semalam.

Profesor Chan, 45 tahun, dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan keadaanya dilaporkan stabil.

Para saksi berkata, beliau yang berlumuran darah, dilihat tidak sedarkan diri ketika dibawa ambulans ke hospital.

Pelajar yang dikenal pasti sebagai David Hartanto Widjaja, 21 tahun itu, meninggal dunia di tempat kejadian pada 10.47 pagi.

Genangan darah dapat dilihat di sisi tubuhnya.

Namun, tidak segera diketahui punca serangan itu.

Profesor Chan menyertai fakulti EEE sejak Jun 1992 dan menyandang jawatan Naib Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Biomedikal NTU.

Beliau adalah penyelia projek para pelajar tahun terakhir termasuk Hartanto.

Menurut laman fakulti EEE, Hartanto sedang menyiapkan projek tahun akhirnya sendiri dengan tajuk 'Perolehan Pelbagai Pandangan dari Konfigurasi Pelbagai Kamera untuk Pameran 3D Sesuai untuk Seorang'.

Beberapa pelajar asal Indonesia dilihat bergegas ke tempat kejadian setelah mendengar berita kejadian itu.

Mereka kelihatan terkejut dan seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Seorang pelajar yang mengenali Hartanto melahirkan rasa 'kaget' (bingung) dengan tindakannya itu.

Pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Yodha, 21 tahun, berkata: 'Saya kenali dia sebagai teman sekuliah dari Indonesia.

'Kami sama-sama mulakan kuliah dalam 2005. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Malam nanti, kami akan adakan pertemuan pelajar dari Indonesia untuk bincangkan perkara ini.'

Hartanto pernah menjadi Presiden Kelab Sukan Elektronik di universiti tersebut.

Sebelum itu, dia adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Atas Kristian 1 BPK Penabur, Jakarta, Indonesia.

Dia pernah mewakili negaranya dalam satu pertandingan Olimpiad Matematik dan Sains di Mexico pada 2005.

Dalam satu forum yang disertainya, Hartanto menyifatkan dirinya sebagai seorang pemain permainan komputer yang serius dan gemar membaca komik.

Dalam satu kenyataan yang dikirimkan menerusi e-mel petang semalam, Presiden NTU, Dr Su Guaning, menyatakan 'pihak universiti amat terkejut dan bersedih dengan apa yang telah berlaku.

'Perkara ini akan disiasat sepenuhnya. Komuniti universiti akan bersatu dalam masa-masa sukar ini dan melakukan apa yang terdaya untuk membantu keluarga pelajar, profesor dan keluarga profesor, selain daripada mereka yang mengalami trauma akibat kejadian itu.'

Pihaknya juga telah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga Hartanto dan Profesor berkenaan.

NTU juga telah menggembleng tenaga kaunseling profesionalnya dan sedang membantu polis dalam siasatan.

No comments:

Posting Terkini