Pages

Thursday, March 5, 2009

FAM swastakan pengurusan bola sepak

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menggalakkan syarikat swasta menaja beberapa pasukan kelab bola sepak yang mengambil bahagian dalam Liga Super dan Liga Perdana bagi memastikan pengurusan pasukan itu stabil dari segi kewangan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jeck Seng berkata, dengan langkah berkenaan, masalah kewangan seperti pencaruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pembayaran elaun dan gaji kepada pemain dapat diatasi, selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan mutu bola sepak negara yang semakin merosot akhir-akhir ini.

Katanya, antara kelab yang ditaja oleh syarikat swasta ialah Kelab KM Naza, UPB MyTeam, KL PLus, Johor FC dan Felda United, di mana penajaan kelab hanya tertumpu kepada penajaan ke atas penyertaan pertandingan sahaja.

"Bagaimanapun isu yang berlaku ialah pasukan negeri sukar untuk mendapat penajaan dan hanya bergantung kepada bantuan subsidi dari FAM dan kerajaan negeri masingmasing sahaja," katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Wee berkata, langkah ini telah dilaksanakan di Jepun, di mana pengurusan dan sumber kewangan bagi kelabkelab bola sepak yang menyertai J League, iaitu Japan Professional Football League, akan dibiayai sepenuhnya oleh penaja termasuk penyertaan pertandingan serta program pembangunan hingga ke akar umbi.

"Kementerian akan berusaha untuk menarik pihak swasta dan syarikat berkaitan GLC tampil menyumbang dana dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara ini," katanya.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika bangun mencelah meminta supaya kementerian campur tangan secara serius untuk mengangkat martabat bola sepak dengan mengurangkan perbincangan serta penubuhan pelbagai bentuk jawatankuasa dan melakukan revolusi terhadap kepimpinan badan induk bola sepak negara itu.

"Sudah masanya FAM direvolusikan, diubahsuaikan kepimpinannya. Saya kecewa (kerana) sudah berapa kali perbincangan mahu diadakan.

"Berpuluh-puluh tahun sudah berapa kali perbincangan, soal bola sepak tidak juga ada kemajuan.

"Kenapa Air Asia menaja baju bola pasukan Manchester United, kenapa tidak taja negara kita? Kalau kita ada mutu, mungkin banyak (penaja) yang akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut menggesa supaya pentadbiran FAM dirombak dan tidak melibatkan campur tangan politik dalam persatuan berkenaan.

Wee ketika menjelaskan berkata: "Kerajaan buat masa ini tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dalam pengurusan FAM kerana bercanggah dengan perlembagaan badan bola sepak antarabangsa FIFA." BERNAMA

No comments:

Posting Terkini