Jakarta timbang status Rohingya
JAKARTA: Indonesia semalam berkata ia sedang menimbangkan untuk memberi status pelarian kepada beratus-ratus etnik Rohingya dari Myanmar.
Menteri Luar, Encik Hassan Wirajuda, berkata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) akan dibenarkan menilai keadaan sekitar 400 lelaki yang dijumpai di tengah laut berdekatan perairan utara Sumatera baru-baru ini.
Sebelum ini, Indonesia berkata pendatang haram itu akan dihantar pulang ke Myanmar. -- AFP.
China isytihar darurat dek kemarau
BEIJING: China telah mengisytiharkan keadaan darurat selepas negara itu dilanda kemarau terburuk dalam tempoh lima dekad.
Keadaan itu menjejas lapan wilayah utara negara itu dan menyebabkan lebih empat juta penduduk tanpa bekalan air minum. -- AP.
Lebih 2,000 larikan diri
COLOMBO: Lebih 2,200 penduduk telah melarikan diri daripada zon perang Sri Lanka sejak dua hari lalu, sedang pihak tentera berikrar menamatkan segera konflik yang telah berlarutan selama 25 tahun.
Pihak tentera berkata mereka kini sedang mengepung gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang bersembunyi di kawasan hutan di wilayah timur laut negara itu. -- Reuters.
Imam Indon gesa boikot filem
JAKARTA: Seorang imam di Indonesia menggesa penganut Islam memboikot filem baru berkaitan layanan Islam ke atas golongan wanita, bertajuk Perempuan Berkalung Sorban.
Imam Masjid Besar Istiqlal, Ustaz Ali Mustafa Yaqub, berkata filem Indonesia arahan Hanung Bramantyo itu memfitnah Islam dan memberi gambaran yang salah tentang madrasah.
Filem itu berkisar tentang anak perempuan ustaz yang memberontak atas layanan yang diberi kepada golongan wanita di madrasah.
Sebelum ini, Bramantyo mengarahkan filem Ayat-Ayat Cinta yang mendapat sambutan hangat. -- AFP.
Polis siasat dakwaan ketua LTTE ke M'sia
KUALA LUMPUR: Polis akan mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa Sri Lanka berhubung desas-desus bahawa ketua pemimpin pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Velupillai Prabhakaran, melarikan diri ke Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pihaknya telah berhubung dengan polis negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan itu. -- Utusan Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment