SEOUL: Korea Utara semalam berkata ia sudah 'bersiap sepenuhnya' untuk berperang dengan Korea Selatan, hanya beberapa jam sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, dijadual tiba di Seoul, Korea Selatan.
'Kumpulan pembelot (Presiden) Lee Myung-Bak jangan lupa bahawa Tentera Rakyat Korea (Utara) sudah bersiap sepenuhnya bagi satu konfrontasi terbuka,' kata jurucakap tentera seperti yang ditukil Agensi Berita Pusat Korea (Utara), KCNA.
Kenyataan KCNA itu merupakan yang terbaru dalam siri ancaman yang semakin meningkat terhadap pemerintah Korea Selatan pimpinan Encik Lee, yang mencetus ketegangan rentas sempadan.
Korea Utara sejak beberapa bulan kebelakangan ini berulang kali mengancam hendak menghancurkan Korea Selatan menjadi abu.
Pyongyang dipercayai sedang bersiap hendak melancarkan peluru berpandu paling jauh jarak sasarannya dalam usaha hendak menarik perhatian pentadbiran Presiden Barack Obama dan mengenakan tekanan ke atas Seoul agar meredakan pendirian tegarnya terhadap Pyongyang.
Bulan lalu, Pyongyang mengumumkan ia akan membatalkan semua perjanjian damai dengan Korea Selatan, termasuk perjanjian 1991 yang mengiktiraf sempadan laut sebagai sempadan sementara.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Encik Lee Sang-Hee, berkata satu pertempuran terbatas tentera laut mungkin meletus di sempadan yang dipertikaikan kedua-dua negara itu di Laut Kuning.
Rabu lalu, beliau dan para pegawai lain berkata Pyongyang mungkin melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauhnya dalam masa dua atau tiga minggu lagi.
Sebuah akhbar setempat menukil sumber perisikan sebagai berkata ujian itu mungkin dijalankan seawalnya minggu depan.
Cik Clinton, yang dijangka tiba pada 10.45 malam tadi (waktu tempatan), berkata sebarang ujian peluru berpandu 'tidak akan membantu' hubungan Amerika-Korea Utara dan menggesa Pyongyang agar menghentikan ancamannya.
KCNA juga mengutuk rancangan bagi latihan ketenteraan bersama askar Korea Selatan dan Amerika, dan memberi amaran mereka akan 'menerima padah' kerana menjalankan persiapan peperangan.
Amaran itu dibuat sehari selepas tentera Amerika-Korea Selatan mengumumkan bahawa latihan tahunan Key Resolve/Foal Eagle akan belangsung dari 9 hingga 20 Mac ini. -- AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment