Pages

Wednesday, January 21, 2009

Tindakan Akan Diambil Jika Sorok Gula

PUTRAJAYA, 21 Jan-- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyorok bekalan gula dengan tujuan untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Menterinya Datuk Shahrir Abdul Samad berkata pada masa ini, bahagian penguatkuasa kementerian memantau di semua peringkat membabitkan peruncit, pemborong dan pengeluar bagi menjamin bekalan itu tidak berkurangan.

Katanya ini kerana dari segi bekalan, ia mencukupi termasuk bagi semua barangan keperluan.

"Dari segi bekalan, jika ia mencukupi, sebarang tindakan menyorok akan dianggap sebagai tindakan untuk mencari keuntungan yang berlebihan.

"Kita akan ambil tindakan kerana ini adalah peraturan kita bahawa sebarang perbuatan cuba menyekat bekalan akan diambil tindakan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk menyorok bekalan gula berikutan kerajaan akan menaikkan harga barangan keperluan tersebut.

Semalam, Shahrir mengumumkan harga gula mungkin akan dinaikkan selepas perayaan Tahun Baru Cina ini berikutan harga barangan itu telah naik di pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini