Mahu tangkap setinggan
SEOUL: Pihak pendakwa raya ingin mendapatkan waran tangkapan ke atas penduduk setinggan yang dituduh melempar bom botol semasa pergaduhan dengan polis awal Selasa lalu.
Tindakan itu telah menyebabkan sebuah bangunan terbakar dan enam orang terkorban. -- AP.
Australia minta Thai ampuni warga
SYDNEY: Kerajaan Australia telah meminta Thailand mengampunkan seorang penulis yang Isnin lalu dipenjara tiga tahun kerana menghina keluarga diraja.
Menteri Luar Australia, Encik Stephen Smith, berkata beliau telah menulis surat kepada rakan sejawatannya, Encik Kasit Piromya, mengenai hukuman yang dikenakan ke atas Harry Nicolaides, 41 tahun. -- AFP.
Program elak wabak anjing gila
DENPASAR: Bali akan menjalankan program pemvaksinan ke atas anjing peliharaan bagi mengekang wabak anjing gila yang telah membunuh empat orang.
Sekitar 300 pegawai akan menjalankan itu lusa di ibu kota Denpasar. -- AFP.
Timbalan menteri turut serbu rumah mayat
KAJANG: Polis akan mengambil keterangan dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyertai kumpulan yang menyerbu rumah mayat Hospital Serdang bagi mengambil gambar mayat tahanan polis yang mati, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kedua-dua timbalan menteri itu menyertai kumpulan terbabit untuk mengambil gambar, A. Kugan, 23 tahun, yang mati dalam tahanan polis yang hari ini disahkan kerana menghidap paru-paru berair.
Ketika mengesahkannya di sini semalam, Datuk Khalid berkata sehubungan itu mangsa bukannya meninggal dunia akibat didera polis. -- BHM.
Korban nahas jalan raya terus bertambah
KUALA LUMPUR: Jumlah kematian yang dicatat dalam Ops Sikap ke-19 terus bertambah dengan 15 kematian dilaporkan dalam kemalangan jalan raya di seluruh Malaysia kelmarin.
Jumlah ini menjadikan sebanyak 35 kematian dicatatkan sejak operasi itu bermula tiga hari lalu, manakala hari keduanya mencatatkan sembilan kematian, kata polis semalam.
Ops Sikap ke-19 yang akan berjalan sehingga 2 Februari ini bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina. -- Bernama.
Polis leburkan sindiket judi loteri haram
GEORGETOWN: Polis menumpaskan satu sindiket judi loteri haram yang nilai pertaruhannya mencecah RM2.5 juta ($1.04 juta) sebulan dengan menahan empat wanita di Jalan Baru, Permatang Tinggi, Bukit Tengah, dekat sini, kelmarin.
Keempat-empat wanita itu yang berusia antara 23 dengan 54 tahun, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah, kira-kira 6.30 petang, dan hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa polis telah menemui 11 mesin faks, empat komputer riba, dua telefon bimbit dan 155 kertas bertulis angka yang disyaki ada kaitan dengan loteri haram, kata polis semalam. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment