Pages

Friday, January 23, 2009

RIZAB NEGARA DIGUNAKAN BUAT PERTAMA KALI

Singapura - BUAT pertama kali, pemerintah Singapura akan menggunakan rizab negara sebanyak $4.9 bilion bagi membiayai dua daripada inisiatif 'luar biasa' yang diumumkan dalam Pakej Daya Tahan bernilai $20.5 bilion.

Dua inisiatif itu ialah Skim Kredit Pekerjaan yang memberikan geran tunai bagi syarikat demi menyelamatkan pekerjaan dan inisiatif perkongsian risiko khas bagi menggalak pinjaman bank untuk bantu syarikat.

Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, berkata Presiden S R Nathan telah memberi kelulusan secara prinsip bagi pemerintah menggunakan rizab itu.

Sebelum ini, pemerintah enggan menggunakan rizab apabila ia menghadapi defisit belanjawan sebelum ini tetapi Encik Tharman berkata keadaan 'luar biasa' yang dihadapi negara ketika ini mewajarkan ia menggunakan rizab itu.

Lagipun, inisiatif $4.9 bilion yang diambil pemerintah itu adalah bersifat sementara. Daripada jumlah itu, $1.1 bilion rizab itu digunakan bagi tahun fiskal tahun lalu dan baki $3.8 bilion akan dibelanjakan bagi tahun fiskal tahun ini.

Encik Tharman menekankan pemerintah tidak akan menggunakan pinjaman bagi membiayai keperluan belanjawannya. Ini kerana pemerintah di beberapa negara lain telah melakukan demikian sehingga menjejas penilaian kredit negara mereka.

'Kita mempunyai rizab yang banyak bagi Singapura yang melebihi pinjaman kami. Ia adalah satu aset bernilai dalam kita memberi respons terhadap krisis ini yang belum pernah kita alami sebelum ini,' tegas Encik Tharman.

Tambah beliau, krisis ekonomi dan kewangan sejagat yang dihadapi ketika ini adalah satu keadaan luar biasa yang menjadi sebab rizab itu dikumpulkan sebelum ini.

Menurut Encik Tharman, Pakej Daya Tahan itu akan menyebabkan pemerintah menghadapi defisit besar bagi tahun fiskal tahun lalu dan tahun ini.

Oleh kerana sebahagian daripada pakej itu akan dilaksanakan pada Mac tahun ini, keseluruhan kedudukan belanjawan bagi tahun fiskal 2008 kini menunjukkan defisit belanjawan akan meningkat sebanyak $2.2 bilion atau 0.8 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).

Bagi tahun fiskal tahun ini, defisit asas mencecah 6 peratus daripada GDP. Defisit asas itu tidak termasuk sumbangan daripada pulangan pelaburan bersih dan aliran kepada endowmen.

Perbezaan defisit berbanding tahun lalu adalah lebih 5 peratus daripada GDP. Ini bermakna pemerintah mengeluarkan fiskal yang besar bagi mendorong ekonomi tahun ini, menurut Encik Tharman.

Secara keseluruhan, pemerintah akan menghadapi defisit belanjawan sebanyak $8.7 bilion atau 3.5 peratus daripada GDP bagi tahun fiskal tahun ini.

No comments:

Posting Terkini