Pages

Friday, January 23, 2009

PAKEJ DAYA TAHAN $20.5 Billion

Singpura - PEMERINTAH membentangkan Belanjawan terbesar dalam sejarah bernilai $20.5 bilion bagi membantu syarikat dan menyelamatkan pekerjaan sedang Singapura menghadapi kemelesetan terburuk sejak kemerdekaan.

Antara lain, Pakej Daya Tahan itu merangkumi potongan kadar cukai korporat daripada 18 peratus kepada 17 peratus bagi tahun penilaian 2010 demi mendorong daya saing syarikat dan menarik pelaburan demi mewujudkan pekerjaan baru.

Bagi menyelamatkan pekerjaan, satu skim kredit pekerjaan baru diperkenalkan untuk memberi majikan geran tunai bernilai 12 peratus daripada gaji $2,500 pertama setiap pekerja mereka yang mempunyai CPF.

Belanjawan luar biasa itu akan menyebabkan negara ini menghadapi defisit terbesar sebanyak $8.7 bilion.

Buat pertama kali, pemerintah juga akan menggunakan rizab negara sebanyak $4.9 bilion bagi membiayai dua daripada inisiatif Belanjawan ini iaitu kredit pekerjaan dan inisiatif perkongsian risiko khas (SRI) bagi menggalak pinjaman bank kepada syarikat bagi mengurangkan masalah kesukaran mendapatkan pinjaman ketika ini.

Membentangkan Belanjawan itu di Parlimen semalam, Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, berkata: 'Singapura sedang mengalami kemelesetan paling mendalam sejak kemerdekaan disebabkan kemerosotan ekonomi sejagat terburuk dalam tempoh 60 tahun.' Kelmarin, pemerintah menurunkan lagi ramalan ekonomi negara kepada -5 hingga -2 peratus tahun ini.

'Pakej ini bertujuan menyelamatkan pekerjaan ke tahap maksimum dalam kemelesetan ini dan membantu syarikat terus menakat. Ia juga membantu Singapura menjadi lebih kukuh apabila ekonomi sejagat pulih,' kata Encik Tharman.

Pakej itu antara lain akan merangkumi $5.1 bilion bagi membantu syarikat mengekalkan pekerjaan, $5.8 bilion untuk menggalak pinjaman bank dan $2.6 bilion bagi meningkatkan aliran tunai peniaga.

Bagi membantu syarikat mengekalkan pekerja mereka, majikan diberikan kredit pekerjaan selama setahun yang akan dibayar dalam empat suku tahunan bermula akhir Mac tahun ini. Bayaran selanjutnya ialah pada Jun, September dan Disember ini.

Kredit pekerjaan sebanyak 12 peratus itu adalah serupa dengan potongan CPF sebanyak 9 peratusan mata.

Bagi menjadikan syarikat terus berdaya saing dan menggalak pelaburan ke Singapura, kadar cukai korporat juga diturunkan yang akan menjimatkan syarikat sehingga $400 juta - $500 juta setahun dalam tempoh sederhana.

'Ia merupakan petanda mengenai komitmen berterusan pemerintah untuk menjadi pusat terbaik bagi perniagaan, kecil dan besar, dari seluruh dunia,' kata Encik Tharman.

Potongan itu bermakna Singapura mengurangkan jurangnya dengan Hongkong, yang tahun lalu telah menurunkan kadar cukai korporat sebanyak 1 peratusan mata kepada 16.5 peratus.

Menyedari masalah syarikat setempat yang sukar mendapat pinjaman bank dalam krisis kredit ini, pemerintah memutuskan mengambil perkongsian risiko lebih tinggi dalam pinjaman bank bagi membantu syarikat untuk terus berkembang.

Di bawah SRI yang baru, pemerintah memperkenalkan program pinjaman sementara (BLP) yang memberikan pinjaman sehingga $5 juta berbanding $500,000 ketika ini bagi memenuhi keperluan modal kerja firma saiz sederhana. Perkongsian risiko pemerintah juga ditingkatkan daripada 50 peratus kepada 80 peratus.

Bagi meredakan masalah aliran tunai para peniaga, pemerintah turut memberikan rebat sewa 15 peratus bagi para penyewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), JTC Corporation, Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan para pegerai di pusat makanan dan pasar Agensi Sekitaran Kebangsaan Singapura (NEA). Rebat cukai hartanah sebanyak 40 peratus juga diberikan bagi hartanah komersial dan perindustrian.

'Pakej daya tahan itu tidak akan menarik kita keluar daripada kemelesetan. Tetapi ia akan membantu kita daripada menghadapi kemelesetan lebih buruk dan menyebabkan lebih banyak kemusnahan kepada ekonomi,' tambah Encik Tharman.

No comments:

Posting Terkini