WASHINGTON: Presiden Barack Obama dijangka memulakan rombakan terhadap dasar keselamatan Amerika Syarikat dengan menandatangani satu perintah eksekutif untuk menutup penjara tentera negara itu di Guantanamo Bay, Cuba, dalam masa setahun.
Beliau akan meneliti semula perbicaraan suspek pengganasan dan menghentikan soal siasat tegar, kata seorang pegawai.
Encik Obama dijangka menamakan seorang tokoh politik veteran sebagai duta khasnya ke Timur Tengah.
'Kemudahan penahanan di Guantanamo Bay bagi individu di bawah perintah ini hendaklah ditutup secepat mungkin, tidak melebihi setahun dari tarikh perintah ini', demikian bunyi draf perintah eksekutif itu, yang dikeluarkan pentadbiran Obama Rabu lalu, menurut Reuters.
Perintah eksekutif itu termasuk tiga perintah mengenai cara menyoal siasat dan mendakwa militan Al-Qaeda, Taleban atau pengganas rakyat asing yang dipercayai mengancam keselamatan Amerika.
Pentadbiran Obama sudah pun menggantung perbicaraan tribunal tentera ke atas suspek pengganasan di Guantanamo Bay selama 120 hari sementara menunggu kajian semula ke atas tribunal tentera tersebut.
Para pengkritik berkata penjara tentera di Guantanamo Bay mencabul hak asasi para tahanan Amerika dan antarabangsa.
Perintah itu menyatakan bahawa suspek yang masih ditahan apabila penjara ditutup 'hendaklah dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asal mereka, dipindahkan ke negara ketiga atau dipindah ke kemudahan tahanan lain di Amerika Syarikat'.
Kesatuan Hak Asasi Amerika (ACLU) menyifatkan draf perintah eksekutif itu sebagai 'sinar matahari pertama selepas lapan tahun dalam kegelapan'.
'Dengan menutup (penjara) yang menjadi lambang penderaan, beliau menafikan pengganas satu alat merekrut paling berkesan,' kata, seorang pegawai antipengganasan Human Rights Watch, Cik Jennifer Daskal.
Sekitar 245 tahanan di Guantanamo Bay mungkin dipindahkan ke negara lain atau didakwa bagi kesalahan yang dikatakan dilakukan mereka.
'Adalah bagi kepentingan Amerika untuk mengkaji semula sama ada individu serupa itu boleh didakwa dan bila mereka akan didakwa,' katanya.
Bagi menangani mereka yang tidak boleh dibicarakan, dipindahkan atau dibebaskan, pihak berkuasa Amerika akan 'memilih cara sah dan sejajar dengan perlembagaan'.
Selasa lalu, para hakim tentera menggantung perbicaraan jenayah perang ke atas Omar Khadr, seorang lelaki rakyat Canada, dan lima lagi orang yang didakwa bersubahat, menyusuli permintaan Encik Obama yang disampaikan kepada Setiausaha Pertahanan, Encik Robert Gates.
Encik Obama juga dijangka memilih bekas Senator Demokrat, Encik George Mitchell, 75 tahun, sebagai duta khas beliau ke Timur Tengah.
Perkembangan berlaku sehari selepas Encik Obama menghubungi Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak; Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert; Raja Abdullah bagi Jordan; dan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Encik Robert Gibbs. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment