WASHINGTON: Presiden baru Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, semalam terus menjalankan tugas mentadbir negara yang dilanda krisis dan inginkan perubahan itu.
Beliau menemui pasukan ekonomi dan para komander tentera, sehari selepas menempatkan dirinya dalam sejarah sebagai presiden kulit hitam pertama Amerika.
Krisis kembar berhubung ekonomi dan isu Iraq itu menjadi agenda utama pentadbiran baru Amerika itu dalam hari pertama tugasnya.
Selain menemui pakar-pakar beliau, Encik Obama juga mengalu-alukan kehadiran para pelawat awam ke Rumah Putih, sedang Kongres menerima pelan pemulihan ekonominya dan menerima pencalonan Cik Hillary Rodham Clinton sebagai Setiausaha Negara Amerika dan Encik Timothy Geithner sebagai setiausaha perbendaharaannya.
'Malam ini, kita meraikan. Esok, tugasnya bermula... Bersama, saya yakin kita akan menulis babak besar seterusnya dalam kisah Amerika,' kata Encik Obama kelmarin pada majlis tari-menari Ketua Komander, salah satu daripada 10 perayaan pelantikan rasmi beliau sehingga awal pagi semalam.
Salah satu tindakan utama Presiden Obama semalam ialah menghentikan semua undang-undang yang telah cuba dilaksanakan pentadbiran mantan presiden Amerika Syarikat, Encik George W. Bush, semasa beliau memerintah.
Perintah itu dikeluarkan sejurus selepas Encik Obama dilantik secara rasmi sebagai seorang presiden, dalam satu memorandum yang ditandatangani ketua turus bersama Rumah Putih yang baru, Encik Rahm Emanuel.
Pentadbiran mantan presiden Bush tahun lalu cuba menyegerakan beberapa saranan undang-undang di negara itu.
Kini pentadbir di bawah operasi Encik Obama akan mengkaji semula kesemuanya yang masih belum selesai.
Semalam, Encik Obama turut menggantung semua prosiding perbicaraan tribunal tentera yang mengundang kontroversi di Guantanamo Bay, Cuba.
Langkahnya itu mendapat sambutan positif daripada beberapa negara Islam Asia yang menaruh harapan agar pusat tahanan itu akhirnya akan ditutup.
Mantan duta besar Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Makarim Wibisono, berkata bahawa gesaan Encik Obama itu 'adalah isyarat baik yang akan mengarah kepada penutupan kem (tahanan) itu'.
'Itulah salah satu janji Obama semasa kempennya. Saya berharap ia akan dilaksanakan dan kepimpinan baru Amerika akan lebih sensitif kepada kemanusiaan dan hak asasi,' tambahnya.
Di Singapura, Presiden S R Nathan kelmarin mengucapkan tahniah kepada Encik Obama sambil berharap kepimpinan Amerika itu dapat menangani krisis ekonomi global dan meneruskan hubungan berbaik-baik antara Singapura dengan negara itu. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment