Pages

Saturday, January 10, 2009

DUA KETUA AL-QAEDA DIPERCAYAI MATI DALAM SERANGAN CIA DI PAKISTAN

WASHINGTON: Dua ketua operasi kumpulan Al-Qaeda dipercayai terbunuh dalam serangan peluru berpandu terbaru Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika Syarikat di Pakistan, menurut seorang pegawai antipengganasan Amerika kelmarin.

Seorang daripada mereka ialah lelaki rakyat Kenya yang dikenali sebagai Usama Al-Kini, yang dipercayai ketua operasi Al-Qaeda di Pakistan.

Dia dipercayai bertanggungjawab merancang serangan bom ke atas Hotel Marriott di Islamabad yang mengorbankan 60 orang pada September tahun lepas dan satu serangan yang gagal untuk membunuh mantan perdana menteri Pakistan, Cik Benazir Bhutto.

Seorang lagi dikenali sebagai Sheikh Ahmed Salim Swedan.

Mereka berdua termasuk dalam senarai suspek pengganasan yang paling dikehendaki Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika berhubung serangan bom ke atas kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania pada 1998.

Dalam laman web FBI, Al-Kini dikenal pasti sebagai Fahid Mohammed Ally Msalam, 32 tahun, ketua operasi Al-Qaeda di Pakistan.

Washington menawarkan hadiah AS$5 juta ($7.4 juta) bagi maklumat untuk menangkap setiap seorang daripada mereka.

Kedua-dua pemimpin Al-Qaeda itu terbunuh selepas diserang dengan peluru berpandu Hellfire oleh pesawat tanpa pemandu Predator kendalian CIA, lapor akhbar Washington Post.

Para pegawai Pakistan berkata tiga peluru berpandu yang dilepaskan pesawat Predator CIA di Karikot, dalam daerah Wana, Waziristan Selatan, di sebuah bangunan yang digunakan untuk latihan bom pada 1 Januari lalu, membunuh lima orang yang disyaki militan.

'Mereka mati semasa merancang serangan pengganas baru,' kata seorang pegawai Pakistan.

Kematian mereka menjadikan lapan pemimpin kanan Al-Qaeda kesemuanya dibunuh pesawat Predator CIA sejak enam bulan lalu.

Suspek lain yang terkorban termasuk Rashid Rauf, dalang komplot hendak meletupkan beberapa pesawat di Lautan Atlantik pada 2006, dan Abu Khabab al-Masri, pakar senjata kimia dan senjata kuman Al-Qaeda.

Kempen yang diperhebat itu menyusuli siri penilaian perisikan Amerika yang merumuskan AlQaeda kian kuat di kawasan suku kaum di barat laut Pakistan.

Para pegawai antipengganasan berkata serangan seperti 1 Januari lalu menjadikan kawasan suku kaum di Pakistan 'tidak lagi selamat' buat militan Al-Qaeda.

Serangan Predator setiap tiga hari itu dikecam hebat pemerintah Pakistan. Tetapi para pegawai perisikan berkata ia telah melemahkan Al-Qaeda. -- AP, AFP, Reuters

No comments:

Posting Terkini