Pages

Saturday, January 10, 2009

Angka korban Palestin kini capai 783 orang

BAITULMAKDIS: Israel meneruskan serangan ke atas Jaluran Gaza semalam, tanpa mempedulikan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa diadakan gencatan senjata serta-merta.

Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert semalam berkata:

'Israel tidak pernah membenarkan orang luar menentukan haknya untuk mempertahankan keselamatan rakyatnya.'

'Serangan roket (Hamas) pagi ini ke atas penduduk di selatan Israel menunjukkan resolusi PBB tidak praktikal,' tegas beliau.

Pesawat pejuang Israel membedil lebih 30 sasaran sebelum subuh semalam menyebabkan 19 rakyat Palestin terkorban.

Pegawai Hamas berkata angka korban Palestin kini mencapai 783 orang, sepertiga daripadanya kanak-kanak.

Hamas bertindak balas dengan melancarkan 15 serangan roket ke selatan Israel, termasuk bandar Beersheba dan Ashkelon. Hanya seorang cedera. Sejauh ini 13 rakyat Israel terkorban, termasuk 10 askar.

Hamas semalam menolak resolusi PBB. Jurucakapnya, Encik Raafar Morra, berkata: 'Resolusi itu tidak dapat di- terima ia kerana bukan untuk kepentingan rakyat Palestin.'

Seorang lagi jurucakap Hamas, Encik Sami Abu Zuhri berkata: 'Resolusi itu tidak bermakna perang telah tamat.'

Semalam sebuah agensi PBB menggantung penghantaran makanan ke Gaza selepas Palang Merah menuduh Israel menghalang bantuan perubatan dan askar Israel menembak konvoi dan pekerja bantuan.

PBB dalam satu laporan berkata 30 rakyat Palestin terbunuh apabila tentera Israel memaksa 110 penduduk berlindung di sebuah rumah yang kemudian dibedil tentera Israel.

'Menurut keterangan para saksi, pada 4 Januari tentera darat Israel memindahkan 110 penduduk Palestin ke dalam sebuah rumah di kejiranan Zeitun dan memberi amaran kepada mereka supaya jangan keluar. Tetapi 24 jam kemudian askar Israel membedil rumah itu berulang kali menyebabkan 30 orang terkorban.'

Mereka yang selamat berjalan kaki dua kilometer sebelum dibawa ke hospital dengan kereta awam. Tiga budak mati setiba di sana.

Ketua hak asasi PBB, Encik Navi Pillay, semalam mengutuk tindak tentera Israel yang sengaja membedil tiga sekolah PBB.

Semalam, lebih 50,000 rakyat Mesir menunjuk perasaan di bandar Iskandariah mengutuk serangan Israel ke atas Gaza. 'Ganyang Israel dan mereka yang sekongkol dengannya' pekik mereka. Polis menahan 35 aktivis pembangkang.

Pemimpin Libya, Kolonel Muammar Gaddafi, turut mengkritik pemimpin Arab kerana reaksi 'pengecut' terhadap serangan Israel ke atas Gaza.

'Saya menggesa negara Arab membuka pintu bagi sukarelawan untuk berjuang bersama rakyat Palestin,' tegas Encik Gaddafi.

Naib Presiden Indonesia, Encik Jusuf Kalla, pula berkata rakyat Indonesia tidak perlu pergi ke Gaza untuk menjadi pejuang sukarelawan membantu rakyat Palestin.

'Rakyat Palestin lebih memerlukan bantuan perubatan dan kemanusiaan,' tegas beliau. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini