Pages

Saturday, January 10, 2009

CABARAN BAGI CALON BN

CALON Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sedang menghadapi ujian getir dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu depan, demikian pandangan beberapa pengamat politik Malaysia.

Malah, bahangnya semakin terasa oleh para pegawai kempen BN sehingga Perdana Menteri Malaysia dan Presiden BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, terpaksa mempertahankan calon pilihannya dan menafikan beberapa dakwaan terhadapnya.

Ini diburukkan lagi dengan dakwaan bahawa beliau 'sombong' dan 'tidak pandai bergaul' di kalangan sesetengah pengundi dan mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam kenyataan beliau di laman blog beliau, serta kemungkinan tidak mendapat sokongan di kalangan ahli Umno Terengganu sendiri, kata para pengamat.

'Orang kata dia sombong, saya tidak tahu. Kalau saya tahu dia sombong, saya tidak ambil dia jadi setiausaha politik saya,' katanya pada majlis bersama para pemimpin Wanita Umno di Kuala Terengganu malam kelmarin, yang dipetik media Malaysia semalam.

Kelmarin, Dr Mahathir dalam laman blognya, www.chedet.cc, berkata pilihan raya kecil di Kuala Terengganu itu tidak penting dan tidak akan membawa perubahan yang banyak kepada negeri pantai timur itu.

Malah, beliau mengkritik pemilihan calon BN itu dan menyifatkannya 'sebagai seorang yang sombong, tidak tahu beramah mesra dengan orang'.

Dalam hal ini, Datuk Seri Abdullah berharap Datuk Wan Ahmad Farid pandai membawa diri apabila berhadapan dengan pengundi Kuala Terengganu.

Usaha menghubungi Datuk Wan Ahmad Farid untuk mengulas bagaimanapun gagal.

PAS menguasai tiga daripada empat kerusi di Kuala Terenganu: Batu Burok, Ladang dan Wakaf Mempelam, dengan Encik Mohd Abdul Wahid sebagai Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun). Kerusi keempat di kawasan majoriti penduduk Cina pula dikuasai Persatuan Cina Malaysia (MCA) sejak dua penggal lalu.

Namun, ada juga pengamat berpendapat sikap 'acuh tak acuh' di kalangan 80,229 pengundi berdaftar terhadap kempen pilihan raya sejak empat hari lalu mencerminkan kurangnya minat mereka.

'Ia mungkin dilihat kritikal hanya oleh beberapa individu dalam BN yang mahu mengukuhkan pengaruh masing-masing dan bagi Pakatan Rakyat yang mahu merebut satu lagi kerusi di Parlimen,' kata seorang pengamat politik di Kuala Lumpur semasa dihubungi semalam.

'Ada orang kata pilihan raya kali ini proksi bagi Pak Lah (Datuk Seri Abdullah) tapi ia juga satu ukuran sejauh mana kepimpinan Datuk Seri Najib kelihatan utuh,' kata seorang anggota Umno Terengganu yang enggan namanya didedahkan.

'Satu lagi cabaran ialah sejauh mana Umno Terengganu dapat bersatu memberi sokongan padu kepada Datuk Wan Ahmad Farid agar PAS tidak menggunakan kesempatan ini untuk menambat hati pengundi,' tambahnya.


No comments:

Posting Terkini