KUALA LUMPUR, 4 Nov -- Kerajaan hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.
Najib juga berkata kadar inflasi pada 2009 dijangka berada pada tahap 3 hingga 4 peratus, jika harga minyak dunia kekal dalam aliran menurun seperti sekarang.
Beliau berkata defisit fiskal kerajaan bagi 2009 masih pada tahap yang terkawal, yang dianggarkan sebanyak 4.8 peratus, memandangkan kerajaan memilih untuk terus menyediakan bajet yang mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, yang tahap ini serupa dengan anggaran defisit tahun 2009.
"Defisit 4.8 peratus ini bersifat sementara, dalam lingkungan yang munasabah memandangkan negara mempunyai mudah tunai yang mencukupi untuk meminjam daripada pelbagai sumber dalaman," katanya.
"Kerajaan akan mengamalkan dasar "pengembangan" seperti yang diamalkan oleh negara-negara lain pada masa kini.
Mulai Februari 2009, Najib berkata biodiesel akan digunakan, bermula dengan kenderaan-kenderaan kerajaan, diikuti sektor industri dan pengangkutan.
Adunan itu dianggarkan memerlukan 500,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya pada awal 2010, katanya.
Bagi mengurangkan kos input pertanian terutama baja, kerajaan bersetuju memansuhkan duti import sebanyak 5 peratus yang dikenakan ke atas tujuh jenis baja.
Ini adalah tambahan kepada pemansuhan duti import ke atas satu jenis baja semasa pembentangan Bajet 2009.
Menerusi langkah itu semua baja mineral yang diimport tidak lagi dikenakan duti, kata Najib.
Beliau juga berkata selari dengan penurunan harga minyak mentah, industri pengeluar baja tempatan bersetuju membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus harga baja serta-merta, katanya.
Najib berkata pembentangan Bajet 2009 yang lepas telah mengambilkira dan mengunjurkan senario global yang mencabar bagi tahun 2009.
Namun, perubahan perkembangan ekonomi global yang mendadak sejak akhir-akhir ini memerlukan kita mengambil tindakan proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global semasa.
"Keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan yang juga luar biasa ataupun dengan izin, "extraordinary times, require extraordinary measures", katanya.
"Perlu ditekankan bahawa jumlah perbelanjaan yang dibentang pada Bajet 2009 masih tidak berubah. Segala perbelanjaan yang digunakan untuk langkah-langkah tambahan ini adalah hasil penjimatan daripada subsidi minyak," katanya.
Dalam strategi melaksanakan dasar fiskal yang mengembang, Najib berkata kerajaan akan menyemak semula projek-projek dengan tujuan untuk memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.
Ini akan dilaksanakan tanpa menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2009 sebelum ini.
Sebagai contoh, Kerajaan telah menangguhkan pembelian helikopter untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, supaya penjimatan ini boleh digunakan bagi projek pembangunan yang lain, kata Najib.
BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment