Pages

Monday, November 3, 2008

Naib Presiden Gerakan Ditemui Mati

SEREMBAN, 3 Nov-- Naib Presiden Parti Gerakan Datuk Dr S. Vijayaratnam, 58, ditemui mati di hadapan kliniknya di bangunan Vijaya Mahal, Jalan Tunku Hassan di sini tengah hari tadi.

Beliau dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan milikinya itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata, Vijayaratnam datang ke kliniknya seperti biasa dan mengambil kunci untuk naik ke tingkat atas bangunan.

"Kata pembantu klinik itu, majikannya memberi alasan ada orang hendak menyewa tingkat teratas di bangunan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Sejurus kemudian, mayat Vijayaratnam ditemui dengan kesan kecederaan parah di kepala dan seluruh badan, katanya.

"Setakat ini siasatan awal menolak penglibatan pihak ketiga atau ada unsur bunuh diri. Kita letakkan kes itu di bawah 'sudden death' (kematian mengejut)," katanya.

Beliau berkata terdapat orang yang melihat kejadian itu dan polis akan mendapatkan keterangan daripadanya.

Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat.

Presiden Parti Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon memberitahu Bernama beliau terkejut dengan kematian Vijayaratnam.

Katanya mendiang baru sahaja memenangi jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu bulan lepas.

Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Chan Kee Choong menyifatkan kematian Vejayaratnam sebagai satu kehilangan yang besar kepada parti dan masyarakat.

"Ini kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang mesra dan sentiasa mahu memberi bantuan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Chan berkata kali terakhir mereka bertemu adalah pada mesyuarat badan perhubungan Gerakan Negeri Sembilan di sini pada Selesa lepas.

"Beliau tidak menunjukkan tanda-tanda luar biasa dan sentiasa kelihatan ceria dan ramah dengan kawan-kawannya dalam mesyuarat tersebut," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini