SEOUL: Korea Utara semalam mengumumkan bahawa ia akan menutup sempadannya dengan Korea Selatan mulai bulan depan, sambil menuduh Seoul meletakkan konfrontasi antara kedua-dua negara berjiran itu ke peringkat 'melepasi paras berbahaya'.
Pyongyang mengumumkan bahawa satu langkah 'menyekat dan memotong semua laluan darat' antara kedua-dua negara akan berkuat kuasa dari 1 Disember ini, lapor agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA).
Penutupan keseluruhan sempadan yang dikawal ketat itu akan menjejas kompleks perusahaan Kaesong yang dibiayai Korea Selatan, dekat sebelah utara sempadan itu.
Pengumuman semalam itu dibuat berikutan hubungan dingin sejak beberapa bulan lalu antara kedua-dua negara itu.
Ini termasuk ancaman Korea Utara akan menghalau warga Korea Selatan dari Kaesong sebagai membantah tersebarnya risalah-risalah propaganda oleh para aktivis Seoul.
KCNA berkata langkah itu sebagai tindak balas kepada kegagalan Seoul mematuhi perjanjian yang dicapai dalam sidang puncak antara kedua-dua negara Korea itu pada 2000 dan 2007.
Korea Selatan, bagaimanapun, melahirkan rasa kesal dan menggesa diadakan dialog antara kedua-dua negara tersebut.
'Kami dapati adalah sesuatu yang dikesalkan bahawa pihak Utara memutuskan untuk mengambil langkah- langkah itu,' kata jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, Encik Kim Ho-Nyoun.
'Jika pihak Utara menjalankannya, langkah-langkah tersebut akan meninggalkan kesan negatif ke atas apa yang telah dicapai dalam hubungan antara Korea.'
Presiden Korea Selatan yang berpendirian konservatif, Encik Lee Myung-Bak, pernah berkata bahawa beliau akan mengkaji semula perjanjian yang dicapai antara kedua-dua negara itu.
'Kami menghormati semangat semua perjanjian antara Korea, termasuk perisytiharan 15 Jun dan 4 Oktober,' kata Encik Kim.
'Kami melahirkan hasrat untuk membincangkan pelaksanaan perisytiharan 15 Jun dan 4 Oktober itu secara terperinci memandangkan pihak Utara menunjukkan minat.
'Bagi tujuan itu, rundingan antara kedua-dua Korea harus berjalan pada tarikh yang awal dan kami menggesa pihak Utara memberikan respons positif.' - AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment