Chen ditangkap bukan untuk ampu
BEIJING: China semalam menolak dakwaan mantan Presiden Taiwan, Encik Chen Shui-bian, bahawa penangkapannya kelmarin adalah satu usaha pemerintah Taiwan untuk mengampu Beijing.
'Ini tidak lain daripada khabar-khabar angin yang disebar oleh Chen Shui-bian,' kata jurucakap Kementerian Ehwal Taiwan China, Cik Fan Liqing, dalam satu taklimat akhbar tanpa memberikan ulasan lanjut. -- AFP.
Gabenor Bangkok letak jawatan
BANGKOK: Gabernor Bangkok, Encik Apirak Kosayodhin, meletakkan jawatan semalam, selepas sebuah agensi antirasuah memutuskan bahawa satu urus niaga melibatkan pemerolehan trak-trak kebakaran bagi ibu kota Thailand itu, yang dibekalkan oleh sebuah syarikat Austria, mengandungi beberapa perkara yang 'tidak kena'.
Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan Thailand kelmarin berkata Encik Apirak dan seorang lagi bekas gabenor dan mantan Perdana Menteri, Encik Samak Sundaravej, terbabit dalam pembelian peralatan daripada Steyr Co itu. -- AP.
Kencing di dinding jiran bawa maut
NEW DELHI: Seorang warga India memukul jirannya hingga mati kerana mangsa itu kencing di dinding rumahnya selepas satu sesi minuman, kata laporan akhbar-akhbar semalam.
Encik Shri Pal, seorang penjual barangan sekerap berusia 35 tahun, mati akibat kecederaan yang dialaminya selepas Durga Prasad naik berang dan menyerangnya apabila mangsa melakukan perbuatan itu, lapor akhbar The Hindustan Times. -- AFP.
Eutanasia: Wanita dihukum penjara
SYDNEY: Seorang wanita Australia berusia 60 tahun semalam dihukum menghabiskan setiap hujung minggunya di penjara untuk hampir dua tahun kerana membunuh suaminya dalam satu kes eutanasia yang penuh kontroversi.
Shirley Justins percaya dia melakukan apa yang dikehendaki suaminya, Graeme Wylie, 71 tahun, seorang pesakit Alzheimer, tetapi mengetahui bahawa bekas juruterbang Qantas itu kurang keupayaan memutuskan sama ada beliau mahu nyawanya diakhiri, kata hakim. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment