Pages

Monday, November 3, 2008

Eurocopter- Tiada Penyelewengan, Kata PAC

KUALA LUMPUR, 3 Nov -- Mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini memutuskan bahawa tidak ada penyelewengan daripada segi prosedur dalam pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion.


Pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid berkata berdasarkan kepada tinjauan selama dua minggu di peringkat teknikal dan kewangan, didapati prosedur pembelian memang mengikut tatacara yang ditentukan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

"Memang dari segi tanggungjawab PAC adalah untuk melihat sama ada prosedur diikuti. Perlu diingat ini adalah tender antarabangsa, kita sedang diperhatikan dunia. Jadi kita perlu teluas...Jadi, dalam proses penilaian, kita dapati prosedurnya diikuti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di sini, Isnin.

PAC turut memperakui bahawa adalah menjadi keperluan dalam bidang pertahanan negara untuk mempunyai helikopter yang terkini selepas mendapati helikopter Nuri yang dimiliki sejak 40 tahun lepas, kini di dalam proses pelupusan dan penggantian.

Beliau berkata daripada tujuh penender yang mengemukakan tender pembelian helikopter, tiga daripadanya didapati sesuai yang menawarkan harga pada RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.

"Jadi, perakuan yang dibuat Kementerian Kewangan adalah untuk membeli pada harga RM1.604 bilion jenis Eurocopter," katanya.

Azmi berkata PAC bagaimanapun kurang senang dengan ketiadaan pemeriksaan fizikal terperinci ke atas helikopter yang hendak dibeli itu.

Katanya, Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa mereka tidak membuat satu uji terbang khusus memandangkan pesawat itu sedang diguna pakai dalam pelbagai keperluan di peringkat antarabangsa.

"Malah, ada juruterbang tempatan pernah menguji terbang Eurocopter ini... Jadi berasaskan kepada pengalaman, mereka merasakan tidak perlu dilakukan (uji terbang)," katanya.

Sehubungan itu, Azmi berkata PAC mencadangkan pada masa pembelian pesawat akan datang, Kementerian Pertahanan perlu memberi perhatian yang serius berkaitan pemeriksaan fizikal terperinci ke atas pesawat berkenaan.

"Apabila sampai tahap di mana pembelian itu diputuskan (walaupun ditangguh sekarang) yang memakan masa selama tiga tahun untuk disiapkan, maka PAC dan pihak TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) memperakui bahawa perlu untuk buat pemeriksaan rapi sebelum menerima helikopter berkenaan," katanya.

Azmi berkata alasan kenapa kerajaan tidak memilih pakej terendah adalah kerana ia tidak memenuhi syarat.

Beliau juga berkata harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan hingga Februari 2009, dan selepas tamat tempoh itu, harga berkenaan bergantung kepada pembekal sama ada menawarkan harga yang sama atau perlu dibincangkan semula.

Mengenai kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang berhubung keperluan membeli helikopter baru sedangkan pesawat Nuri masih boleh ditambahbaiki, Azmi berkata wang yang lebih banyak perlu dibelanjakan untuk penambahbaikan dan perkara itu perlu dipertimbangkan dengan teliti oleh kerajaan.

"Ada benda-benda yang tidak ada pada Nuri. Pesawat Nuri tidak boleh terbang pada waktu malam, berada terlalu lama di udara, penerbangan secara automatik untuk menyelamat...(Nuri) perlu dilakukan secara manual. Ini semua kaedah yang dapat diatasi dengan pembelian helikopter yang lebih moden," katanya.

Ditanya sama ada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mempunyai asas untuk menyiasat urusan pembelian itu, Azmi berkata: "Terserah kepada BPR, siasatan kami mendapati daripada segi prosedur, kami mendapati ia berada dalam had yang dibenarkan."

Bagaimanapun, Azmi berkata PAC akan terus memantau isu pembelian helikopter ini.

Dalam pada itu, Azmi turut mencadangkan supaya diwujudkan satu panel bebas untuk memantau segala pembelian yang menelan belanja yang tinggi.

Katanya, ia akan membolehkan kelemahan dapat dibaiki dan rakyat akan merasa lebih selesa apabila merasai segala urusan dilakukan dengan telus dan tidak membazirkan wang rakyat.

"Terpulang kepada kerajaan untuk menentukan siapakah panel untuk mengetuai panel penilaian bebas. Ini bukan sahaja melibatkan pembelian di bawah Kementerian Pertahanan, tetapi juga melibatkan semua kementerian," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini