Pages

Friday, November 14, 2008

13 CEDERA LETUPAN DI THAI

BANGKOK: Polis mengesahkan sekurang-kurangnya 13 orang awam cedera akibat satu letupan berdekatan sebuah pasar ketika sebahagian peniaga mengadakan protes berikutan kenaikan kadar sewa, pagi semalam.

Kolonel Polis, Encik Sutip Palitkusontap, berkata letupan itu berlaku sekitar 1 pagi (waktu tempatan) ketika sebahagian penunjuk perasaan masih tidur di dalam khemah, manakala sebahagian lagi berkumpul di jalan.

Ratusan penyewa pasar berkenaan - yang terletak di daerah Klong Toey - mengadakan bantahan sejak petang kelmarin.

'Setakat ini tidak diketahui jenis bahan letupan yang digunakan dan siapa dalang di sebalik kejadian ini,' kata Kolonel Sutip.

Tanah tempat pasar itu ditempatkan dimiliki oleh Penguasa Pelabuhan Thailand yang telah mendapatkan khidmat pengurusan baru untuk mengendalikan pasar itu.

Penunjuk perasaan mendakwa bahawa mereka dilayan secara tidak adil oleh pihak pengurusan baru, yang telah menaikkan harga sewa.

Menurut seorang kakitangan Pusat Perubatan Narenthorn, Encik Surachet Sathitniramai, dua daripada mangsa mengalami kecederaan serius.

Menurut saksi, dua lelaki dilihat menjatuhkan satu beg plastik dari atas sebuah jambatan sebelum letupan itu berlaku.

Letupan itu dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan ketegangan politik yang mencengkam Thailand sejak beberapa bulan lalu. -- AP, Reuters, AFP.

No comments:

Posting Terkini