Oleh
Soraya Salim
SEDANG negara-negara seluruh dunia menghadapi ketidaktentuan ekonomi disebabkan krisis kewangan teruk di Amerika Syarikat, Singapura berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi badai ini.
Menekankan demikian semalam, Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, berkata ini kerana Singapura mempunyai sistem yang kukuh dan ia tetap diyakini ramai.
'Keyakinan terhadap Singapura tinggi dalam pelbagai sektor, seperti perkilangan dan perkhidmatan.
'Pasaran hartanah kita tidak mempunyai penilaian terlalu tinggi seperti banyak negara lain, termasuk di Asia. Kita mempunyai sistem fiskal yang kukuh,' katanya.
Ditemui wartawan selepas sesi dialog bersama penduduk di Kelab Masyarakat Toa Payoh East semalam, Encik Tharman menambah, negara ini juga telah melaksanakan pendekatan baik dengan tidak membelanjakan kesemua lebihan wang yang dinikmati tahun lalu.
Dalam dialog awal sebelum itu, seorang penduduk telah bertanya bagaimana rancangan pemerintah Amerika Syarikat bernilai sebanyak AS$700bilion ($999.88 bilion) bagi menyelamatkan sektor kewangan Amerika, akan menjejas Singapura.
Kata Encik Tharman lagi:
'Pada dasarnya, kita perlu menjangkakan keadaan akan semakin teruk sebelum ia pulih di Amerika Syarikat dan sejagat, lantas ia akan merupakan tahun yang sukar, dengan pertumbuhan perlahan di seluruh dunia.
'Semua orang akan terasa keperitannya dan kita tidak dikecualikan.
'Bagaimanapun, kita berada dalam kedudukan baik untuk mengharungi cabaran ini...'
Dalam pada itu, Encik Tharman menekankan bahawa Singapura perlu terus menumpukan perhatian pada tempoh jangka pertengahan hingga panjang kerana 'masalah jangka pendek boleh ditangani di dalam Singapura'.
Negara ini juga perlu mengekalkan tumpuannya terhadap meningkatkan daya saingnya dan membina kekuatannya dalam tempoh jangka pertengahan hingga panjang supaya apabila keadaan berubah menjadi lebih baik, Singapura bersedia merebut peluang yang timbul, kata Encik Tharman.
Dalam sesi semalam, seorang lagi penduduk turut mengajukan keprihatinan mengapa tarif elektrik dinaikkan sebanyak lebih 21 peratus apabila harga minyak sudah mula turun.
Memberi respons kepada wartawan selepas itu, Encik Tharman berkata harga tempatan harus mencerminkan apa yang sedang berlaku dalam pasaran dunia.
Daripada menawarkan skim subsidi, yang sudah tampak kurang berkesan di negara-negara lain, pendekatan lebih baik adalah untuk membantu golongan miskin secara terus-menerus.
Ini telah pun dilakukan pemerintah menerusi rebat U-Save, dengan golongan lebih miskin yang menetap di flat satu dan dua bilik menerima rebat sehingga empat dan lima bulan, kata Encik Tharman.
'Warga biasa Singapura menerima lebih banyak rebat U-Save tahun ini daripada kenaikan tarif,' kata Encik Tharman lagi.
Bagaimanapun, beliau akur kenaikan yang disaksikan suku ini agak besar dan ini akan diambil kira apabila pemerintah menimbangkan rebat U-Save dan pakej keseluruhan tahun depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment