Pages

Thursday, October 2, 2008

Anggota polis lepaskan 58 das tembakan dirujuk ke Jabatan Psikiatri

KUANTAN 2 Okt. — Seorang anggota polis yang ditahan kerana melepaskan 58 das tembakan ke udara dan tiga das ke arah keretanya sendiri semalam dipercayai mengalami tekanan jiwa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ACP T. Narenasegaran berkata, anggota polis berusia 22 tahun itu yang berasal dari Kelantan hari ini dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Lipis.

Katanya, anggota polis itu yang bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan ditahan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 sejurus selepas kejadian.

“Punca kejadian belum dikenal pasti dan kita masih menunggu laporan pemeriksaan hospital selain melakukan soal siasat ke atas anggota polis itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi semalam, seorang anggota polis melepaskan 58 das tembakan ke udara di Kampung Selendang, Padang Tengku, Kuala Lipis dipercayai akibat tekanan jiwa.

Ketua Polis Daerah Lipis DSP Abdul Razak Hassan semalam berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana anggota polis itu boleh membawa keluar pistol yang sepatutnya ditinggalkan di tempatnya bertugas di Balai Polis Simpang Durian.

Sementara itu, Narenasegaran berkata, beliau tidak pasti bagaimana anggota polis yang bertugas di Balai Polis Simpang Durian itu boleh berada Kuala Lipis.

Beliau tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit singgah di situ ketika dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Kelantan.

“Kejadian itu juga mungkin berkait dengan masalah peribadi anggota polis itu sendiri,” katanya.

- Bernama

No comments:

Posting Terkini