KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan esok atau lusa keputusan sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan.
"Anda tunggu la, kenapa tidak sabar sangat," katanya kepada pemberita semasa ditanya bilakah beliau akan membuat keputusan.
Abdullah juga berkata beliau akan bertemu pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat untuk memaklumkan perkara itu.
"Rakan-rakan kita dalam BN sudahpun membuat andaian bahawa mereka lebih suka dimaklumkan. Mereka mahu dimaklumkan mengenai apa yang akan berlaku," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Isnin.
Ditanya mengenai jumlah calon yang dijangka agak ramai akan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac tahun depan, Abdullah berkata, "Selepas beberapa ketika, setengah daripada mereka akan berundur dan mungkin akan tinggal satu atau dua sahaja."
Setakat ini, hanya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding merebut jawatan itu.
Beliau yang turut diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin UMNO yang mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan tertentu begitu awal, menyifatkan perkara itu sebagai hak dan pilihan masing-masing.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata sebelum melepaskan jawatan melalui peralihan kuasa yang dijadualkan pada Jun 2010, beliau akan memastikan manifesto 2004 dipenuhi.
"Apa yang saya janjikan, saya mesti tunaikan," katanya.
Abdullah turut disoal wartawan asing mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap anggota parlimen pembangkang Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamaruddin serta seorang wartawan yang didakwa telah mencemar imej negara.
"Soalan ini telahpun ditanya sebelum ini. Sudah pasti ada sebab yang baik bagi seorang menteri yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan seperti itu.
"Ada negara-negara lain yang mempunyai undang-undang seumpama itu tetapi lebih keras daripada ISA. Setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk menjaga keselamatan mereka sendiri," katanya.
Menjawab soalan mengenai peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang bertanggungjawab terhadap perundangan negara, Perdana Menteri berkata, menteri tersebut tidak terlibat dengan penggunaan ISA.
"Menteri undang-undang tidak terbabit. Ianya adalah tanggungjawab eksklusif Menteri Dalam Negeri," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment