Pages

Monday, October 6, 2008

JPN Sabah Perlu Dirombak Sepenuhnya, Kata Dompok

PENAMPANG, 6 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara Sabah perlu dirombak sepenuhnya bagi mengatasi kelemahan yang terdapat pada sistemnya, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengalaman seorang warga emas Yong Lee Hua, 78, yang hanya diberi status penduduk tetap (PR) setelah kehilangan MyKad tahun lepas.

Dompok, yang juga presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), berkata perkara itu perlu dilakukan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan sistem penyampaian kelas pertama kepada rakyat.

"Sungguh memalukan apabila JPN hanya memberi status penduduk tetap kepada Yong, sedangkan dia seorang warga negara Malaysia dan pemilik MyKad," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Pada sidang akhbar yang sama, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Moyog Donald Datuk Peter Mojuntin, yang juga Ketua Biro Kewarganegaraan dan Keselamatan Upko, memperkenalkan dua orang lagi yang juga mengalami masalah bagi mendapatkan MyKad.

Mereka ialah Alice Chui Pee, 52, dan Stephen George.

Chui, pemilik kad pengenalan hijau, dilahirkan di Singapura pada 1956 semasa ibu bapanya, yang berasal dari Papar, bekerja di republik itu.

Tiga tahun kemudian, dia kembali ke Sabah dan setelah merayu beberapa kali, permohonan ibu bapanya untuk mendapatkan taraf warga negara bagi anak mereka itu, masih belum berjaya.

Dua lagi adik beradik Chui bagimanapun mendapat status penduduk tetap dan diberi MyKad.

Stephen pula, yang dilahirkan di Brunei pada 1956 dan pulang ke Sabah pada 1958, adalah penduduk tetap dan memohon taraf warga negara sejak 1975.

Bagaimanapun, jawapan yang diterimanya ialah permohonannya sedang diproses dan kini berada di tangan polis serta mungkin mengambil masa setahun untuk diketahui kedudukannya.

Mengulas masalah yang dihadapi oleh Chui dan Stephen itu, Dompok berkata JPN tidak sepatutnya menghadapi masalah bagi menangani kes itu kerana dasar sedia ada mengenainya, sudah jelas.

"Apa yang amat menyedihkan ialah ada orang yang boleh masuk ke negara ini melalui pintu belakang dan mendapat IC (kad pengenalan).

"Saya akan mengambil tindakan dan membantu dengan sedaya upaya. Saya akan bawa kes ini kepada Kabinet," katanya.

No comments:

Posting Terkini