Pages

Wednesday, September 24, 2008

Abdullah Harap Harga Minyak Akan Turun

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata adalah menjadi harapannya harga petrol dan diesel dapat dikurangkan daripada harga semasa berikutan harga minyak mentah dunia yang kini berada pada paras kira-kira AS$100 setong.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata perkara tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat Kabinet esok.

"Perkara yang berkaitan dengan minyak, subsidi dan seumpamanya adalah perkara-perkara yang diputuskan di dalam Kabinet.

"Dan lebih baiklah kita tunggu dulu daripada memberi sebarang bayangan berkaitan dengan perkara itu.

"Jika esok kita tengok ada, adalah, harap-harap begitulah (harga minyak turun)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Exco Ekonomi Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika ditanya sama ada pengumuman esok, berhubung harga minyak, merupakan hadiah hari raya kepada rakyat menjelang sambutan perayaan tersebut tidak lama lagi.

Sabtu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata keputusan sama ada kerajaan akan menurun atau mengekalkan harga runcit petrol dan diesel bakal diketahui pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Harga seliter petrol RON 97 sekarang RM2.55 seliter manakala harga diesel pula ialah RM2.50 seliter.

Pada Jun lalu, kerajaan menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua bahawa telah ada hubungan awal antara orang tengah mereka dan orang tengah Abdullah berhubung peralihan kuasa, Abdullah berkata ia merupakan laporan paling gila yang beliau pernah dengar.

Abdullah turut menegur pihak media yang membuat laporan berhubung perkara itu.

"Ia adalah laporan paling gila yang pernah saya dengar. Apa yang perlu dilaporkan, kamu (media) perlu fikir dahulu sebelum membuat laporan sedemikian," katanya.

Beliau berkata tidak ada sebarang mesyuarat diadakan dengan wakil daripada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam laporan Agence France-Presse (AFP), Tian Chua berkata hubungan itu telah dibuat pada hujung minggu dan lebih daripada satu perjumpaan telah diadakan.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini