Pages

Friday, April 20, 2012

FBI: Patek mahu serang askar AS


JAKARTA: Seorang ejen Biro Siasatan Federal (FBI) semalam memberitahu mahkamah pengganas Umar Patek merancang membunuh askar Amerika Syarikat dan dia telah ke Pakistan untuk bertemu Osama bin Laden.

Patek yang ditahan di Pakistan tahun lalu di bandar sama tempat askar elit membunuh Osama beberapa bulan selepas itu, didakwa menghasilkan bom yang digunakan dalam pengeboman Bali pada 2002, yang mengorbankan 202 orang.

'Dia terus menjadi seorang pengganas. Dia terus menghasilkan bom dan dia merancang menyerang askar Amerika di Filipina,' kata ejen FBI Frank Pellegrino.

Encik Pellegrino berkata menyusuli pengeboman Bali, dia telah berbincang dengan polis Indonesia mengenai kegiatan Patek di Afghanistan, tempat dia menjalani latihan pengganasan.


Di Filipina, Patek telah memberitahu ramai orang 'mengenai keinginannya... mahu membunuh rakyat Amerika di selatan,' kata Encik Pellegrino kepada Mahkamah Daerah Jakarta Barat.

Pihak peguam bela sebelum ini berkata Patek berada di Pakistan bukan untuk bertemu Osama.

Encik Pellegrino bagaimanapun berkata seorang saksi di Filipina telah memaklumkan FBI bahawa Patek telah ke Pakistan bagi menjalin semula hubungan di antara Jemaah Islamiyah (JI) dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Saksi itu berkata Patek telah memberitahunya bahawa dia 'berminat kembali ke Pakistan dan Afghanistan dan bekerjasama dengan Osama bin Laden'.

Ali Imron, 42 tahun, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup ekoran penglibatannya dalam pengeboman Bali, bulan lalu memberitahu mahkamah bahawa saudara lelakinya, Mukhlas, telah menerima AS$30,000 daripada Osama bagi kegiatan jihad di Asia Tenggara.

Encik Pellegrino berkata sebelum ini beliau telah menyoal siasat sekitar 20 anggota militan, sebahagian besarnya anggota JI.

'Ramai di antara mereka kenal Patek dan semua menyifatkannya sebagai pemimpin mereka - terutama selepas pengeboman Bali... seorang pembuat bom terkenal yang tahu membancuh kimia dan tahu bagaimana mengajar orang lain cara membancuh kimia,' kata Encik Pellegrino.

Patek, 45 tahun, yang mula dibicarakan sejak Februari lalu, dikenakan pertuduhan membunuh, membuat bom dan menyimpan senjata secara tidak sah.

Dia turut didakwa terlibat memasang bom yang digunakan bagi menyerang beberapa gereja di Jakarta pada 24 Disember 2000. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini