Monday, October 31, 2011
Kahwin lepas dibebas setelah 17 tahun di jel Israel
JALURAN GAZA: Seorang bekas tahanan Palestin, Encik Daher Kabha, yang dibebaskan hasil pertukaran banduan antara Hamas dan Israel baru-baru ini, akhirnya melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, selepas 17 tahun meringkuk dalam penjara Israel
Dua minggu lepas, Israel bersetuju membebaskan ratusan tahanan Palestin dalam pertukaran dengan askarnya, Encik Gilad Shalit, yang ditawan militan Palestin pada 2006.
Di bawah perjanjian pertukaran antara Hamas dan Israel itu, kira-kira 150 rakyat Palestin dari Tebing Barat akan dibebaskan di Semenanjung Gaza.
Majlis perkahwinan, Encik Daher, 44 tahun, yang berasal dari Tebing Barat, diadakan di kawasan Jaluran Gaza baru-baru ini.
Encik Daher dan tunangnya, Cik Rayeda, 35 tahun, bertunang sebelum beliau ditahan tentera Israel pada 1994.
Cik Rayeda berasa sungguh gembira memulakan kehidupan baru bersama suaminya, setelah menempuh kehidupan selama 17 tahun dalam perpisahan yang amat memeritkan.
Wanita dari Tebing Barat itu terpaksa menempuhi satu perjalanan yang panjang menerusi sempadan Rafah dari Mesir untuk melangsungkan perkahwinannya kerana Encik Daher tidak dibenarkan kembali ke kampung halamannya di Jenin.
'Bersyukur kepada Allah swt. Mulai saat ini kehidupan saya bermula. Kegembiraan yang saya rasai tidak dapat digambarkan,' katanya.
Encik Daher ditahan selepas didapati bersalah oleh regim Tel Aviv atas dakwaan melakukan operasi pengeboman di kawasan Israel.
'Saya gembira kerana telah dibebaskan dan dapat berkahwin, tetapi pada masa sama saya amat ingin pulang ke kampung halaman bersama isteri saya.
'Amat sukar menunggu saat ini. Kebebasan ini hanya diperoleh menerusi tentangan,' katanya. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment