Pages

Monday, October 31, 2011

Larangan bawa naskhah fahaman politik antara aturan Saudi bagi jemaah haji


RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi telah merangka enam peraturan bagi jemaah haji tahun ini, termasuk larangan membawa sebarang naskhah bercetak mengenai fahaman politik.

Antara lain, jemaah diberi amaran supaya mematuhi undang-undang dan tradisi Islam Arab Saudi, termasuk tidak membawa arak, dadah, bahan lucah atau cetakan mengandungi fahaman agama bertentangan dengan ajaran Islam di negara itu.

Kenyataan itu turut menekankan jemaah perlu segera meninggalkan Arab Saudi dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) lain pada akhir musim haji.

Jemaah juga diminta memberi maklumat betul ketika memohon visa.

Sekiranya jemaah didapati bersalah, pihak berkuasa Arab Saudi tidak akan teragak-agak menyekat kemasukan mereka.Pada masa sama, Kementerian Keadilan Sosial dan Perpaduan Mesir telah meminta jemaah negara itu supaya menunaikan haji sahaja dan tidak menyebarkan amalan politik.


Jemaah Mesir perlu menandatangani ikrar mematuhi peraturan itu, dan jika melanggarnya mereka akan dihukum oleh kerajaan Arab Saudi.

Larangan tersebut akan ditulis pada visa jemaah.

Pengasas yang juga Presiden Persatuan Antarabangsa Cendekiawan Islam (IAMS), Sheikh Yusuf al-Qaradawi, dilaporkan sebagai berkata jemaah dilarang menggunakan slogan politik, melakukan demonstrasi atau melakukan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan jemaah Islam ketika haji.

'Tuhan menjadikan negara ini bagi melaksanakan ibadat haji dalam keadaan aman dan selamat.

'Demonstrasi atau menggunakan slogan politik semasa musim haji tidak boleh diterima kerana perbuatan itu akan menghasut persengketaan antara jemaah di tempat suci,' kata Sheikh Qaradawi kepada akhbar Saudi, Okaz. -- Agensi

No comments:

Posting Terkini