Pages

Friday, April 20, 2012

Saudi bakal tetapkan usia minimum bagi perkahwinan


JEDDAH: Arab Saudi dilaporkan bakal mengenakan usia minimum bagi perkahwinan di negara itu, menyusuli bantahan antarabangsa berkaitan isu pengantin kanak-kanak.

Seorang jurucakap Kementerian Keadilan kelmarin ditukil oleh akhbar Al-Madina sebagai berkata pihaknya masih membincangkan berapa umur minimum yang sesuai.

'Pihak kementerian telah mengambil pendirian jelas berkaitan perkahwinan bawah umur dan isu ini telah dibentangkan kepada pihak penguasa.

'Kami menyokong usaha memperkenalkan undang-undang bagi menangani amalan itu, bagi memastikan keselamatan budak perempuan,' kata ketua Jabatan Pernikahan, Kementerian Keadilan, Encik Mohammed al-Babetein.


Badan hak asasi kemanusiaan, Amnesty International, berkata isu itu bukan baru kerana pihak berkuasa Arab Saudi memang merancang memperkenalkan umur minimum sejak beberapa tahun lalu.

'Namun, sehingga kami melihat undang-undang itu diperkenalkan dan dikuatkuasakan dan bukan setakat kata-kata, kami akan terus melahirkan keprihatinan mengenai kurangnya perlindungan bagi budak perempuan daripada perkahwinan muda dan yang dipaksa,' kata jurucakap Amnesty bagi Timur Tengah, Encik James Lynch.

Kes perkahwinan kanak-kanak semuda lapan tahun di Arab Saudi telah mendapat perhatian media setempat dan asing sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2010, Suruhanjaya Hak Asasi Saudi, telah mendapatkan khidmat seorang peguam bagi membantu seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun untuk meminta cerai daripada suaminya yang berusia 80 tahun.

Pada 2009, Menteri Keadilan berkata pihaknya merancang memperkenalkan undang-undang berkaitan perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan.

Ini menyusuli tindakan sebuah mahkamah yang enggan membubarkan perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dengan seorang lelaki yang 50 tahun lebih tua. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini