Pages

Friday, April 15, 2011

Jemaah dilarang ambil gambar lepas tawaf widak


KUALA LUMPUR: Jemaah haji dan umrah dilarang mengambil gambar di sekitar Tanah Haram, Makkah, selepas melakukan tawaf widak (tawaf selamat tinggal) kerana ia boleh membatalkan tawaf itu dan menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sempurna.

Persoalan berhubung perbuatan mengambil gambar selepas tawaf widak itu dikemukakan pembimbing ibadat haji pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-27 kerana ada jemaah yang musykil sama ada perbuatan itu boleh memberi kesan kepada ibadat mereka atau sebaliknya.

Susulan itu, larangan tersebut disenaraikan sebagai antara 11 resolusi pada muzakarah yang dihadiri ulama, tokoh agama dan pembimbing ibadat haji di Pulau Pinang pada Februari lalu.


Pembimbing Ibadat Haji, Encik Sapawi Che Mat, berkata larangan itu sememangnya wajar kerana tindakan mengambil gambar selepas tawaf widak tiada kaitan dengan urusan ibadat.

'Malah, jemaah juga dianggap melengahkan perjalanan pulang,' katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Beliau, yang juga penceramah bebas, berkata resolusi yang disenaraikan itu wajar disebarkan untuk manfaat jemaah haji dan umrah negara ini bagi mengelak mereka daripada melakukan perbuatan yang dilarang hukum syarak.

Malah, beliau juga mengambil inisiatif menyediakan bahan yang sesuai berkaitan dengannya untuk kursus haji yang sedang berjalan sekarang.

Sementara itu, mantan Pengurus Besar Bimbingan Tabung Haji, Datuk Daud Che Ngah, berkata mengikut hukum, tawaf widak adalah langkah terakhir sebelum jemaah meninggalkan Masjidil Haram.

'Selepas tawaf widak, jemaah hanya boleh melakukan solat sunat, mengucup Hajar Aswad dan berdoa, jadi mengambil gambar boleh menyebabkan tawaf widak jemaah terbatal dan wajib melakukannya semula atau membayar dam,' katanya.

Datuk Daud, yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, berkata walaupun ibadat sah, jemaah berdosa kerana melanggar hukum syarak.

Beliau berkata syarikatnya, yang menjalankan kursus haji dan umrah, turut mencatatkan perkara itu dalam buku peraturan ibadat berkenaan, serta menjelaskan secara terperinci kepada semua jemaah yang menghadiri kursus anjuran syarikat Berkenaan.

'Menjadi tanggungjawab memaklumkan jemaah mengenai larangan ini bagi mengelak mereka melanggar hukum syarak hingga wajib melakukan tawaf widak semula,' katanya. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini