Pages

Wednesday, March 16, 2011

Universiti ditadbir bagai tadika: Apa terjadi pada pendidikan kita?

Mereka yang sinis akan menyamakan universiti tempatan dengan kandang, tiada hak bersuara selain disuapkan pagi dan malam, dibesarkan dan kemudian disembelih untuk dipasarkan.  Malah bukan sesuatu yang baru untuk menyifatkan institusi pengajian tinggi sebagai kilang - siswa-siswi dihasilkan dengan acuan mengikut piawaian tertentu - semuanya sama, bagaikan tin makanan.

Dan jenaka sedemikian diterapkan sebagai falsafah sistem pengajian tinggi Malaysia.  Gambar bagaimana Ketua Pegawai Keselamatan menutup mulut seorang wakil siswa dengan tangannya itu sudah cukup untuk menjelaskan situasi sebenar dalam Universiti Malaya.  Tidak lama kemudian, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang enggan ditinggalkan kesunyian di Sintok menarik tumpuan media dengan memberi saman kepada kepada siswa-siswinya - atas kesalahan warna dan panjang rambut yang melanggar peraturan.

Saya gagal melihat bagaimana kedua-dua usaha di atas meningkatkan reputasi menara gading di Malaysia ke dalam senarai 100 universiti terbaik di dunia.  Padahal ia mungkin satu cubaan pentadbir universiti untuk mencatat rekod Guinness, yang jelas lebih mencungkil minat politikus yang bergelar profesor.  Jikalau ia sesuatu yang "tidak masuk akal" apabila universiti mengupah pegawai keselamatan untuk mengawasi mulut siswa/i; bagaimana pula dengan perlantikan Naib Canselor untuk menjaga hal rambut dan pakaian siswa/i?


Alasan yang tidak masuk akal
Saya terpegun apabila membaca wawancara China Press bersama Naib Canselor UUM, Mohamed Mustafa Ishak yang bermegah dengan kejayaannya menyeragamkan pakaian siswa-siswinya.  Setahu saya Naib Canselor adalah pengemudi yang menentukan hala tuju universitinya.  Maknanya, persoalan yang berlegar dalam tengkorak Naib Canselor adalah sejauh manakah siswa-siswinya berjiwa kemanusiaan; apakah siswa-siswinya ghairah untuk menghambat kebebasan, mencari kebenaran, dan menegakkan keadilan?

Pendek kata, Naib Canselor seharusnya lebih mengambil berat tentang apa yang tersirat di dalam jiwa siswa-siswi, daripada apa yang tersurat pada rupa bentuk luarannya.  Ini kerana andaian bahawa paras rupa dan pakaian seseorang yang memenuhi peraturan yang ditetapkan adalah "orang baik" terbukti meleset.  Logiknya senang difahami selagi kita tidak berfikir menggunakan usus besar.  Cuba lihat penampilan Chan Kong Choy, bekas Menteri Pengangkutan ketika berada di mahkamah untuk berdepan dengan tuduhan "menipu Perdana Menteri" dalam skandal PKFZ.  Penampilannya cukup segak dan kemas, malah memperlihatkan "profesional"-nya, dari kaca mata Naib Canselor UUM.  Persoalannya, apakah Chan Kong Choy layak untuk dijadikan contoh kepada siswa-siswi?
Dan kita wajib bertanya, adakah rambut Pornthip Rojanasunand yang berwarna-warni itu bakal menjejaskan profesionalnya sebagai seorang pakar patalogi forensik?  Dan siapakah pula kita untuk menafikan ketokohan Mahatma Gandhi - hanya atas alasan beliau tidak memakai kot dan tali leher yang segak?
Jelas, peraturan sedemikian merupakan bingkai yang langsung tidak masuk akal.  Ia dipaksakan ke atas setiap siswa/i yang umurnya sudah melebihi 18 tahun.  Malah, Naib Canselor UUM dengan angkuh mencabar, pergi belajar di universiti lain jikalau tidak mahu mematuhi peraturan!
Men-tadika-kan Universiti
Sebagai pendidik, mungkin ada antaranya yang berniat baik ketika mewajibkan agar peraturan diperketatkan.  Sering kita dengar peraturan seperti larangan keluar dan masuk kawasan kampus selepas jam 12 tengah malam.  Jangan pakai selipar dan seluar pendek ketika berada dalam kampus.  Kesemuanya diwajibkan atas nama "demi kebaikan siswa/i".  Malah pertubuhan yang diluluskan dengan timbunan borang permohonan juga diwajib untuk mendapatkan cop mohor HEP sebelum sebarang notis ditampal, atau sebarang risalah diedar.

"Saya layan siswa-siswi bagaikan anak saya." Demikianlah ungkapan yang sering kedengaran dari bibir Naib Canselor.  Namun, "niat" bukan segala-galanya ketika kita membicarakan masalah.  Sememangnya Naib Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Teh Chee Seng berniat baik untuk menasihati siswa/i-nya agar tidak terlibat dalam perhimpunan haram melalui Facebook-nya, tetapi tidak menjawab soalan apakah kesalahan untuk makan kek bersama?  Masalahnya, "perlindungan yang terlebih" ini bukan pendekatan yang sewajarnya untuk mendidik siswa-siswi.  Mengapa Naib Canselor sesebuah universiti mentadbir siswa/i seakan-akan beliau mengasuh kanak-kanak dalam tadika?

Dengan memberi amaran "dengar arahan saya", Naib Canselor sebenarnya memaksakan nilai dirinya kepada siswa/i, lantas merampas hak siswa/i untuk membuat pertimbangan secara berdikari.  Cuma, mengapa perlu seorang Naib Canselor bergelar profesor membuat keputusan untuk seorang siswa/i -yang seharusnya dilayan sebagai seorang dewasa - sama ada untuk memakai selipar atau tidak dalam kampus?  NC wajib bertanya dirinya, sama ada beliau lebih merunsingkan masalah pendek akal siswa/i-nya, atau panjang rambut siswa/i-nya?

Persoalan pokoknya
Segala-gala ini sebenarnya kembali kepada satu persoalan pokok: Sama ada kita mahu melahirkan siswa/i yang patuh kepada AUKU, atau siswa/i yang berani bertanya, mampu membuat pertimbangan, mempunyai pandangan tersendiri dan tegas ketika membuat keputusan?  Adakah tujuan kita menubuhkan Universiti adalah untuk melatih generasi yang akur dan membiasakan diri dengan status quo, biarpun tidak wajar - atau kita mahu membentuk generasi yang berani mempersoalkan ketidakadilan dan bertekad untuk membawa perubahan?

Tepuk dada tanya selera - kita sebenarnya takut apabila siswa-siswi tampil bersuara, lantas tanpa segan silu kita menutup mulutnya dengan tangan.  Kita sebenarnya takut siswa-siswi bangkit mencabar kewibawaan kita, lantas kita menambat mereka dengan Aku Janji.  Kita sebenarnya sedar bahawa "bingkai" yang berada dalam tangan kita sudah berkarat ditinggalkan zaman - kita ugut, denda dan hukum siswa/i bukan kerana mereka mengingkari peraturan, tetapi berdendam kerana kewibawaan kita tercabar apabila mereka mempertikaikannya.

Persoalannya, bagaimana siswa-siswi boleh akur dengan larangan keluar masuk kampus selepas jam 12 tengah malam, jikalau mereka berani mempersoalkan teori "konflik tamadun" oleh Samuel P. Huntington dalam kuliahnya?  Sebaliknya, jikalau siswa-siswi tidak berani mempertikaikan apa salahnya untuk memakai seluar pendek dalam kampus yang terletak pada garisan khatulistiwa - apakah kita mengharapkan golongan ini mampu melakukan sesuatu yang mana prestasinya boleh menandingi pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg?

Kita sering kehilangan arah apabila cuba mengenalpasti dan kemudian menyelesaikan masalah kita.  Masalah sebenar pada pentadbir universiti kita adalah mereka mengandaikan pendidikan itu adalah latihan semata-mata.  Logik yang mendasar dalam tengkorak mereka adalah, semakin ketat peraturan universiti, maka semakin berdisiplin siswa/i yang dihasilkan.  Kita menjaga dan melindungi siswa/i dari panjang rambut hinggalah seliparnya, supaya mereka menumpukan masa sepenuhnya untuk pengajian mereka.

Ini falsafah kilang pembuatan, siswa/i dilayan bagaikan binatang penternakan dan pendidik berperanan sebagai pengasuh di tadika.  Sering kali kita mendengar aduan bahawa siswa/i tempatan tidak kreatif, tidak berkeyakinan diri - tunduk membisu dalam kuliah apabila sesi dibuka untuk bertanya soalan.
Maka pendidik kita mencuba seribu satu cara untuk menangani masalah ini.  Power point digunakan untuk membuktikan bahawa kita seiring langkah teknologi; modul pengajian ditiru dari universiti yang terunggul di dunia - namun kita tetap gagal melahirkan siswa/i yang unggul.  Malah, graduan yang tamat pengajian perlu dilatih semula melalui Skim Latihan Siswazah Menganggur.

Dan kita pelik apabila bakat anak watan kita terserlah bersinar di luar negeri.  Sementara kita mengimport mahupun menyeludup buruh asing, kita sebenarnya antara negara pengeksport bakat terbesar tanpa disedari.  Seandainya kita jujur dalam hal ini, kita semestinya sedar bahawa puncanya adalah kegagalan kita untuk menyediakan satu suasana yang menggalakkan percambahan potensi.  Kita terus mencantas apabila benih bercambah di luar bingkai yang berkarat.

Apa tidaknya, siswa/i dari Fakulti Sains Politik boleh disuapkan sebanyak teori yang mungkin, mereka dipaksa untuk menghafalnya dan memuntahkannya semula pada kertas peperiksaan - tetapi mereka akan didenda apabila turun ke gelanggang untuk memerhatikan dengan mata sendiri perjalanan pilihan raya kecil.  Bukankah kita sedang mengajar anak untuk berenang tanpa kolam?  Bukankah kita sebenarnya mengharapkan kayu balak dari benih yang ditabur ke dalam pasu bonsai?

Saya agak mual apabila membaca alasan pendidik dalam universiti tempatan untuk menyekat kebebasan siswa/i-nya.  Demi kepentingan politik diri mereka menyarankan agar siswa/i tidak terjerumus ke dalam kancah politik.  Demi pangkat dan nama diri mereka memperingatkan agar siswa/i tidak dipergunakan parti politik.  Tanpa segan silu mereka mengerah pegawai keselamatan untuk melindungi kuasa dirinya dan menutup mulut siswa/i-nya.  Maklumlah mengapa bakat siswa/i tempatan hanya bersinar bagai kaca yang meretak di depan pejabat HEP.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.  Sebahagian kritikan di atas pernah diketengahkan cendekiawan di Taiwan terhadap universiti tempatannya, lebih 25 tahun dahulu; dan penulis mendapati ia masih relevan untuk Malaysia, selepas suku abad.

No comments:

Posting Terkini