Pages

Thursday, March 17, 2011

Umno BN dolak dalik isu DEB, MBE


Ahli Parlimen Selayang,
William Leong
KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) berdolak dalik ketika membuat penerangan pembahagian ekonomi di negara ini bagi meraih sokongan rakyat, kata Ahli ParlimenSelayang, William Leong.
“Kepada masyarakat Cina, India dan rakyat Sabah dan Sarawak, BN menyatakan  kerajaan sudah mengubah polisi ekonomi melalui pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE).

“Tetapi kepada orang Melayu pula, mereka kata Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih kekal. Ini jelas satu penipuan,” katanya ketika ditemui Keadiladaily.com di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, DEB pincang kerana terbukti gagal dalam membangunkan ekonomi orang Melayu selepas 30 tahun manakala MBE tidak jelas hala tuju kerana cenderung untuk menarik subsidi kepada rakyat.
“Kebanyakan rakyat di Malaysia berpendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000. Dengan gaji yang rendah begini, subsidi penting untuk orang biasa.

“Dua pertiga  gaji rakyat Malaysia dari kelompok ini digunakan untuk membayar pinjaman rumah dan kereta. Mereka tidak dapat menyimpan wang kecemasan seperti keperluan perubatan. Bahkan, simpanan untuk pendidikan juga tiada,” kata William.

Beliau berkata, rancangan kerajaan untuk  menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi tidak akan berhasil jika penarikan subsidi secara sistematik dilaksanakan untuk menampung projek ‘gajah putih’ yang dicadangkan oleh kroni mereka.

“Kita akan lihat, setiap tahun di akhbar-akhbar Malaysia akan ada laporan bahawa, terdapat keluarga yang terpaksa memperuntukan kewangan yang lebih untuk membeli peralatan sekolah, pakaian, tambang bas dan buku-buku untuk anak mereka. Kenapa ini terjadi?” soalnya.

Justeru, katanya, rakyat Malaysia tidak ada pilihan lain, selain dari mengubah kerajaan Malaysia dalam pilihan raya akan datang.

“Yang sepatutnya ada keazaman politik adalah rakyat Malaysia, bukannya kerajaan Umno BN. Tidak ada cara lain. Dasar yang gagal datangnya dari kerajaan yang gagal. Kita harus menukar kerajaan ini,” ujarnya.

No comments:

Posting Terkini