Pages

Tuesday, November 23, 2010

ROS Belum Beri Respon Berkenaan Lambang Pakatan Rakyat

PETALING JAYA 23 NOV: Sehingga kini Pendaftar Pertubuhan Malaysia(ROS) masih belum memberi respon berhubung proses pendaftaran Pakatan Rakyat, ujar Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita masih lagi membincangkan perkara ini, dulu pun ROS ada minta kita supaya kita menambah nama Malaysia di belakang Pakatan Rakyat supaya jadi Pakatan Rakyat Malaysia.

“Supaya ia mencerminkan satu Malaysia tapi berbincangan ini adalah beberapa bulan lalu. Kita pun sehingga kini masih belum dapat respons daripada ROS.


“Malah, ia tidak halang Pakatan Rakyat menjalankan program, kita juga akan mengadakan konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang bulan depan,” katanya ketika sidang media semalam.

Saifuddin berkata, perbincangan mengenai lambang Pakatan Rakyat masih lagi diteruskan kerana ingin mendapatkan keputusan tepat  selain tidak akan mengelirukan pengundi.

“Kita masih lagi berbincang ... kita tidak mahu kalau kita pilih lambang yang tidak sesuai, ia akan beri kesan kepada pengundi terutamanya pengundi tradisi.

“Sebagai contoh dalam pilihan raya di kawasan pedalaman di Nenggiri, selama ini hanya Umno dan PAS sahaja yang bertanding di sana. Pengundi tradisi ini hanya tahu lambang Umno adalah dacing manakala PAS adalah bulan.

“Jadi nanti kalau mereka tengok lambang PAS tiada, maka mereka tidak akan keluar mengundi. Mungkin juga ada pihak yang akan mengatakan PAS tidak bertanding,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan berlaku kejadian itu turut diambil kira dalam menentukan lambang Pakatan Rakyat yang akan digunakan ketika pilihan raya.

“Ia akan menimbulkan kebimbangan kepada pengundi tradisi. Jadi kita masih lagi berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Sebelum ini seperti dilaporkan Bernama, Ketua Pengarah ROS Datuk Md Alias Kalil berkata, pihaknya belum menerima permohonan PKR-DAP-PAS untuk mendaftarkan lambang Pakatan Rakyat.

“Sebenarnya, parti (Pakatan Rakyat) itu pun belum diluluskan lagi,” kata beliau.

Pakatan Rakyat dibentuk membabitkan ketiga-tiga parti itu selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Menurut Saifuddin ketika ini Pakatan Rakyat masih membincangkan tentang lambang yang akan digunakan sebelum mendaftarkannnya di ROS.

No comments:

Posting Terkini