Pages

Tuesday, October 5, 2010

Diplomat Singapura ditangkap seludup senjata api di India

KEMENTERIAN Ehwal Luar (MFA) menolak laporan berita India semalam kononnya seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Singapura ditangkap kerana cuba menyeludup senjata api ketika melewati pemeriksaan keselamatan di Hotel Ashoka, di New Delhi.

Bagi MFA, laporan itu berdasarkan rekayasa atau cereka semata- mata.

'Tidak terdapat kebenaran dalam cereka ini,' kata MFA sebagai menjawab pertanyaan media di sini semalam.

Menjelaskan perkara sebenar, MFA berkata seorang pegawai Pasukan Polis Singapura, yang sedang bertugas dan merupakan anggota pasukan keselamatan negara, memang membawa senjata api yang mendapat kebenaran pihak berkuasa India.

'Di pusat pemeriksaan keselamatan hotel itu, pegawai tersebut mengisytiharkan kepada kakitangan keselamatan India bahawa beliau ada membawa senjata api.

'Pegawai itu dimaklumkan bahawa beliau tidak dibenarkan membawa masuk senjata apinya ke hotel.

'Beliau kemudian menyerahkan senjata api itu kepada seorang pegawai Pasukan Polis Singapura yang lain dan kemudian memasuki hotel tersebut.

'Rakan setugasnya menunggu di luar,' jelas MFA.

Ditanya bagaimana cerita tersebut boleh timbul, seorang jurucakap MFA berkata:

'Saya sendiri tidak tahu tetapi yang jelas ini rekayasa yang keterlaluan.'

Beliau menekankan bahawa pegawai polis Singapura itu telah mendapatkan permit yang diperlukan dan diberi izin membawa senjata api.

Beliau juga mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa India.

Mengenai tindakan susulan yang diambil MFA, jurucakap tersebut menyatakan bahawa Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi mengetengahkan isu laporan salah itu kepada agensi-agensi keselamatan India.

'Mereka sendiri mengakui tidak ada sebarang pelanggaran aturan keselamatan berlaku dan mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap Singapura,' tambahnya.

Jurucakap MFA itu selanjutnya menegaskan bahawa bagi pihak Singapura, 'perkara tersebut bukan satu insiden' dan 'perkara itu kini dianggap selesai'.



No comments:

Posting Terkini