Pages

Tuesday, October 5, 2010

Toh Puan Noor anggap mendiang kakak, ibu watan


TATAPAN TERAKHIR WAJAH SEORANG 'KAKAK': Toh Puan Noor Aishah memberi penghormatan terakhir kepada Puan Lee sambil disaksikan anak sulung mendiang, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, di Sri Temasek semalam.

MASYARAKAT Melayu dari segenap lapisan tampil di Sri Temasek, Istana, bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Cik Kwa Geok Choo, isteri Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew.

Antara kenamaan yang hadir ialah Toh Puan Noor Aishah, balu Presiden Singapura yang pertama, Allahyarham Yusof Ishak.

Toh Puan Noor, 77 tahun, menganggap Cik Kwa 'lebih sebagai seorang kakak dan seorang ibu kepada watannya'.

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pula menyifatkan mendiang sebagai 'seorang yang cintakan ilmu dan bahasa'.

'Saya masih ingat semasa upacara angkat sumpah pada 1997 di Dewan Bandaraya. Saya menemuinya dan ketika itu beliau menyatakan kepada saya betapa kayanya bahasa Melayu dan memberi contoh bagaimana perkataan 'tempias' dan 'sayang' itu tidak ada gantinya dalam bahasa Inggeris.

'Dari situ, saya tahu beliau begitu meminati bahasa. Sayangnya, saya tidak mengenalinya dengan lebih baik lagi. Jika tidak, saya akan dapat belajar lebih banyak daripadanya. Beliau seorang wanita yang hebat,' jelas Dr Yaacob.

Ketibaan beliau disambut Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan isteri Cik Ho Ching serta adik lelaki Encik Lee, Encik Lee Hsien Yang.

Turut menziarahi ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Moliah Hashim, yang menganggap pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada Singapura.

'Beliau adalah contoh seorang yang bersemangat kental dalam membesarkan anak-anak dan keluarga serta berdiri teguh di belakang suaminya,' ujarnya.

Ini diakui suri rumah, Cik Rubiah Salleh, 49 tahun, yang datang dari Tampines Street 21 untuk memberi penghormatan terkahir.

'Beliau seorang isteri dan wanita berkerjaya yang hebat. Saya amat mengagumi mendiang.'

Dr Abdul Razackjr Omar, satu- satunya pakar jantung Melayu di sini, pula menganggap mendiang sebagai 'ibu kepada rakyat Singapura'.

'Mendiang seorang wanita yang gigih dalam kerjaya, seorang ibu yang cekal dalam membesarkan anak-anak dan seorang isteri yang sedia berkorban demi kepentingan suami dan keluarga,' jelasnya.

Mendiang Cik Kwa, 89 tahun, meninggal dunia di rumahnya di Oxley Road, petang Sabtu lalu.

Beliau mengalami beberapa serangan angin ahmar pada 2008 dan kerana itu tidak mampu bergerak ataupun bercakap.

Orang ramai masih boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang sehingga 5 petang ini.



No comments:

Posting Terkini