Pages

Tuesday, September 21, 2010

Sila kemuka semua bukti

SHAH ALAM – Penyelaras MyDemocracy Watch, Yusmadi Yusoff meminta mereka yang mendakwa terdapat penyelewengan dalam pemilihan parti kali ini supaya membuat laporan dan mengemukakan semua bukti yang ada kepadanya.

Mengulas kenyataan bekas Timbalan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jenapala Perumal Subaan yang mendakwa terdapat beberapa pemimpin dalam PKR yang dikatakan bermain taktik kotor, Yusmadi menjelaskan beliau tidak menerima sebarang aduan daripadanya mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, Jenapala seharusnya mendedahkan bukti dan bukannya membuat dakwaan secara sebarangan kerana tuduhan seperti itu boleh dilakukan sesiapa sahaja dan boleh merosakkan proses demokrasi dalam parti.

“Bila bertanding untuk parti, setiap pemimpin harus bertanggungjawab. Mereka harus bersikap terbuka, bukannya berlawan dengan parti, tetapi berlawan untuk memantapkan parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Yusmadi, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, setakat ini beberapa aduan sudah diterimanya berhubung pemilihan pimpinan dan semua aduan tersebut akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Disiplin parti untuk tindakan lanjut.

Semalam, Jenapala mendakwa Anwar dan Azmin bermain taktik kotor dan mencabar beberapa pemimpin parti itu menafikan secara terbuka tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam elemen-elemen kotor yang didakwa berlaku untuk meraih sokongan sepanjang pemilihan diadakan.

Badan sukarela Mydemocracy Watch diwujudkan oleh ahli PKR mahu pemilihan parti November ini benar-benar bersih serta anggotanya tidak terpilih untuk bertanding.

Badan sukarela ini juga adalah pemantau urustadbir pemilihan PKR, terutama yang melibatkan amalan penyalahgunaan kuasa dan sumber kerajaan dan amalan-amalan yang tidak demokratik seperti kronisme, rasuah dan nepotisme.Badan itu berjanji akan membela golongan yang dinafikan hak demokrasi semasa pemilihan partinya tanpa menyebelahi mana-mana kelompok berkepentingan pada pemilihan parti tersebut.

No comments:

Posting Terkini