BAITULMAKDIS: Rusuhan meletus di Baitulmakdis Timur kelmarin selepas seorang pengawal keselamatan yang ditugaskan melindungi petempatan Yahudi menembak mati seorang penduduk Palestin.
Insiden itu mencetuskan rusuhan antara belia Palestin, yang membaling batu, dengan pasukan polis pencegah rusuhan Israel dan merebak ke pekarangan Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmakdis.
Beberapa orang cedera dalam rusuhan itu apabila polis Israel melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang melempar batu ke arah polis.
Belia-belia Palestin membakar tiga kenderaan dalam insiden itu.
Polis Israel berkata rusuhan bermula apabila penduduk Arab di kejiranan Silwan melempar batu ke arah kenderaan seorang pengawal keselamatan Yahudi.
'Pengawal keselamatan itu melepaskan tembakan dengan pistol apabila keretanya dilempar batu,' kata jurucakap polis Israel, Encik Micky Rosenfeld.
Menurut laporan, tembakan itu membunuh Encik Samir Sarhan, 32 tahun, bapa lima anak.
Dua lagi penduduk Palestin cedera dalan pertempuran tersebut.
Polis berkata pengawal keselamatan itu terperangkap oleh sekatan yang dibuat penduduk Palestin.
'Pengawal keselamatan itu mendapati dirinya dalam bahaya apabila terperangkap dalam satu serang hendap yang memang dirancang. Oleh itu beliau terpaksa melepaskan tembakan,' kata ketua polis Baitulmakdis, Encik Aharon Franco, yang ditukil stesen televisyen Channel Two.
Encik Franco berkata pengawal keselamatan itu telah disoal siasat dan dibebaskan dengan ikat jamin tanpa sebarang dakwaan.
Siasatan akan diteruskan lagi minggu depan, kata beliau.
Kekacauan turut berlaku semasa pengebumian Encik Sarhan apabila belia-belia Palestin melempar batu ke arah kereta polis dan kenderaan lain. Perusuh turut membakar tiga kereta, termasuk sebuah kereta peronda polis.
Radio Tentera Israel melaporkan 10 orang Yahudi turut cedera dalam rusuhan tersebut, termasuk tiga polis, manakala lapan penduduk Palestin diberkas.
Jurucakap polis Israel, Encik Shmuel Ben-Ruby, berkata bom bo- tol turut dibaling ke arah polis di Silwan tetapi tidak ada sesiapa cedera.
'Keganasan yang dilakukan pihak berkuasa Israel merupakan langkah yang boleh menggagalkan agenda dalam proses damai,' kata Encik Ghassan Khatib, seorang jurucakap Penguasa Palestin.
Encik Ahmed Assaf, Jurucakap Pergerakan Fatah, yang dipimpin Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menuduh Israel cuba mencetuskan huru hara dan menggagalkan usaha damai antarabangsa.
Jurucakap Hamas di Gaza, Encik Fawzi Barhoum, semalam menggesa semua negara Arab supaya menarik balik sokongan terhadap rundingan damai yang sedang berlangsung antara Palestin dengan Israel. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment