Pages

Friday, September 24, 2010

Paris Hilton batal lawat Malaysia


KUALA LUMPUR: Selebriti Amerika Syarikat Paris Hilton membatalkan rancangan melawat Malaysia semalam selepas dilarang memasuki Jepun kelmarin.

Aktres dan penyanyi berusia 29 tahun itu dalam laman Twitternya berkata beliau berlepas pulang selepas pihak berkuasa Jepun menahan beliau daripada melawat negara itu ekoran menghadapi pertuduhan memiliki dadah di Las Vegas, Amerika.

'Saya sudah hendak berlepas. Balik ke rumah sekarang. Sangat kecewa kerana terlepas peluang menemui peminat di Asia. Saya berjanji akan datang semula tidak lama lagi. Saya sayang anda semua! Sayang, Paris,' katanya dalam laman Twitter.

Agensi berita Kyodo melaporkan Paris menarik balik permohonannya memasuki Malaysia. Jurucakap imigresen enggan mengulas adakah Paris diarah meninggalkan Jepun atau melakukannya secara sukarela.

Pegawai kanan imigresen, Encik Masaaki Nakayama, berkata sesi soal siasat diadakan kerana Jepun tidak akan berkompromi dan membenarkan sebarang orang yang pernah disabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah memasuki negara itu.

Di Kuala Lumpur, Paris dijadual melancarkan pewangi terbarunya, 'Tease', dan beg tangan 'Paris Hilton' koleksi musim gugur/ sejuk 2010. Tokyo perhentian pertama beliau dalam rancangan jelajah Asia yang termasuk merasmikan pembukaan butiknya di Jakarta.

Laporan berita antarabangsa memetik pegawai serantau Hilton, Cik Dawn Miller, sebagai berkata selebriti itu merancang mengadakan lawatan pada tarikh lain.

'Paris sangat kecewa dan berhasrat untuk memenuhi komitmen perniagaannya dan menemui peminat beliau, tetapi beliau dipaksa menangguhkan komitmennya di Asia,' kata Cik Miller. -- Bernama, AFP.


No comments:

Posting Terkini