Pages

Thursday, August 12, 2010

Al-Qaeda ancam guling kerajaan Arab Saudi

SANAA: Pemimpin kedua Al-Qaeda di Yaman mengancam akan menggulingkan kerajaan Arab Saudi dengan mengeluarkan arahan kepada penyokongnya di negara itu. Saeed Ali Al-Shihri, timbalan ketua Al-Qaeda di Semenanjung Arab (Aqap), menyampaikan ancaman itu dalam satu rakaman audio yang disiar menerusi Internet Selasa lalu.

Beliau mendakwa mempunyai penyokong di kalangan pegawai polis dan pasukan tentera Arab Saudi. Al-Shihri berkata beliau mengarahkan mereka menggulingkan kerajaan Saudi kerana ia 'bersekongkol' dengan Amerika Syarikat untuk menguasai dunia Arab.

Aqap menjalankan sejumlah serangan ke atas kemudahan keselamatan pemerintah dan kepentingan Barat di selatan Yaman sepanjang dua bulan lalu. Minggu lepas ia mengaku bertanggungjawab di atas dua serangan pada 22 dan 25 Julai di wilayah minyak Shabwa, yang mengorbankan 12 askar, termasuk pegawai kanan Yaman.

Pada 14 Julai, Aqap mengaku mendalangi serangan kembar ke atas bangunan keselamatan dan perisikan di wilayah Abyan, yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga askar. Pada 19 Jun ia mengaku bertanggungjawab di atas serangan ke atas ibu pejabat perisikan di Aden, menyebabkan 24 orang mati.

Al-Shihri, bekas tahanan di Guantanamo Bay, membuat arahan kepada cawangan Al-Qaeda di Arab Saudi pada 3 Jun lalu agar menculik penganut Kristian dan putera Saudi bagi mendapatkan pembebasan militan yang dipenjarakan di Arab Saudi.

Kumpulan itu berikrar juga akan melancar lebih banyak serangan ke atas kepentingan kerajaan Arab Saudi di Yaman dan tempat lain bagi membebaskan anggotanya. -- Agensi.


No comments:

Posting Terkini