Pages

Sunday, July 4, 2010

Umno hadapi persaingan ulama

KUALA LUMPUR: Satu persaingan sengit antara sekumpulan kecil ulama dalam Umno sedang bergolak, dengan kemasukan 40 cendekiawan Islam yang dikaitkan dengan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Kumpulan itu dikatakan mewakili mereka yang berfahaman Wahhabi, satu istilah yang sering digunakan bagi menggolongkan mereka yang menyingkirkan amalan yang tidak pernah wujud di zaman Nabi Muhammad saw, menurut satu laporan laman berita setempat, semalam.

Namun, para pengikutnya menggelarkan diri mereka sebagai 'Ahli Sunah Wal jamaah', atau mereka yang mengikut amalan tradisi Nabi Muhammad saw.

Para pengkritik berkata pentafsiran cendekiawan Wahhabi yang tegas terhadap beberapa upacara ibadah Islam sering bercanggah dengan amalan setempat.

Kemasukan mereka dalam Umno dijangka mencairkan pengaruh ulama yang sering disifatkan sebagai tradisional, yang menguasai pihak berkuasa agama di hampir semua negeri, tambah mereka.

Bekas ketua badan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaei Ahmad, pernah mendakwa kumpulan Dr Asri itu akan menimbulkan konflik antara Umno dengan pihak berkuasa agama negeri.

'Jika mereka mendakwahkan idea politik, maka tiada apa salahnya, tetapi jika ia membabitkan agama, saya bimbang mereka akan menentang institusi-institusi agama seperti majlis agama Islam, jabatan agama Islam atau mufti-mufti,' kata beliau kepada laman berita The Malaysian Insider.

Difahamkan Umno sudah pun merancang mengadakan kelas-kelas agama yang bakal dikendalikan oleh ulama baru itu bagi para pemimpin parti di pusat latihannya di Janda Baik, Pahang.

Langkah tersebut akan menambahkan tekanan kepada pihak berkuasa agama negeri agr mengubah cara mereka memberi layanan kepada ' cendekiawan Wahhabi' itu, yang menghadapi kesukaran mendapatkan permit daripada semua negeri di Malaysia, kecuali di Perlis - satu-satunya negeri yang meletakkan fahaman 'Ahli Sunah Waljamaah' itu sebagai doktrin Islam yang diterima dalam perlembagaan.

Salah seorang ulama yang menyerahkan borang permohonan Umno kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, minggu lalu, Encik Fathul Bari Mat Jahya, ditangkap di Negri Sembilan pada Mac lalu kerana mengajar tanpa permit.

Dr Asri pernah dikenakan layanan yang sama di Selangor pada November lalu selepas beliau ditangkap sedang mengajar dj sebuah rumah di Hulu Klang.



No comments:

Posting Terkini