Pages

Sunday, July 4, 2010

PKR ambil 'jalan tengah' selesaikan isu

PERGOLAKAN dalaman terbaru membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor mempunyai kesan besar kepada parti itu.

Ini meskipun parti itu telah mengambil langkah segera untuk melenyapkan desas-desus mengenai konflik dalaman itu dan cuba menyelesaikan rekahan antara dua pemimpin utamanya pada permukimannya di Shah Alam, baru-baru ini.

Pergeseran antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, and Naib Presiden PKR, Encik Mohd Azmin Ali, memang sudah menjadi buah mulut orang di Selangor sejak berbulan-bulan yang lalu.

PKR kini menyerahkan tugas ketua parti negeri Selangornya kepada Encik Azmin tetapi mengekalkan tanggungjawab pentadbiran negeri itu kepada Tan Sri Khalid sebagai menteri besarnya.

Malah, peletakan jawatan Azmin sebagai pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kelihatannya telah mencetuskan perubahan itu pada hujung minggu lalu.

Parti yang dipimpin ketua pembangkang de facto, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu berharap langkah itu akan membuka pintu kepada:


Penyertaan lebih ramai anggota parti untuk mengisi beberapa jawatan utama bagi membantunnya mentadbir Selangor dan mengukuhkan rangkaian akar umbinya.


Membantu mengatasi masalah Tan Sri Khalid yang dikatakan 'kurang faham' selok-belok berpolitik.

Langkah penukaran peranan itu akan membolehkan Tan Sri Khalid - seorang ahli korporat berpengalaman - menumpukan tugas beliau kepada pentadbiran negeri Selangor dan menyerahkan tugas menangani ehwal parti kepada para pemimpin yang lebih fasih di bidang politik seperti Encik Azmin, menurut sumber parti.

Ringkasnya, memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin itu berfungsi mengikut kemampuan masing-masing, tambah mereka.

'Ia langkah untuk meredakan rasa geram sesetengah perwakilan parti terhadap pentadbiran Khalid,' kata seorang sumber semasa dihubungi.



PENYELESAIAN ISU

Isu Tan Sri Khalid dan Encik Azmin itu dikatakan sebenarnya bermula apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kuasa kerajaan lima negeri termasuk Selangor daripada Barisan Nasional (BN) pada Mac 2008.

Ketika itu desas-desus mengatakan pelantikan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar Selangor hanya sementara - bagi menyelesaikan beberapa masalah pentadbiran negeri itu - sebelum jawatan itu diserahkan kepada Encik Azmin, yang dianggap lebih rapat kepada Datuk Seri Anwar.

Pergolakan ekonomi dan politik, serta pertelingkahan dalaman PKR, bagaimanapun, menghalang perkara itu daripada menjadi kenyataan.

Namun, pilihan raya umum Malaysia ke-13 semakin hampir dan Anggota Parlimen (AP) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR terpaksa mengejar masa bagi mengotakan janji mereka kepada penduduk dan para penyokong yang pernah membantu mereka.

Lebih banyak wang diperlukan bagi pilihan raya itu dan mereka perlu menangani isu pembiayaan pilihan raya itu kelak.

Tan Sri Khalid, walau dipuji dan disenangi penduduk setempat kerana mentadbirkan Selangor secara telus dan profesional berbanding menteri besar terdahulu, kurang disenangi sesetengah ahli politik PKR yang masih menantikan 'ganjaran' kemenangan pilihan raya umum yang lalu.

Contohnya, dalam menganugerahkan kontrak negeri, beliau enggan memberi layanan istimewa kepada para AP atau anggota PKR.

Namun, 'kelemahan' Tan Sri Khalid itu - daripada sudut mata sesetengah anggota partinya - menjadikan beliau popular di kalangan penduduk Selangor.

Tetapi, beliau juga dikatakan kurang tegas dalam membuat keputusan, sehingga menjejas beberapa peluang perniagaan, rancangan pembangunan dan penyelesaian masalah penduduk di Selangor.

'Tan Sri Khalid dikritik kerana berpendirian 'lembutnya' terhadap perkhidmatan awam dan lambat dalam melaksanakan dasar-dasar.

'Bagaimanapun, penyokong beliau mengesyaki bahawa sungutan terbesar ke atas beliau tertumpu kepada kurangnya peluang kontrak dan geran di bawah pentadbirannya (kepada ahli politik partinya sendiri),' kata zamil dan penyelaras Pengajian Malaysia di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura, Dr Ooi Kee Beng.

Sebaliknya, Encik Azmin, sebagai seorang pakar strategi dan ahli politik, tahu mengambil hati penyokong dan pengundinya tetapi tersekat 'sumbangannya' kepada mereka kerana beliau tidak berada di pucuk pimpinan negeri, kata para pengamat.

Namun, Encik Azmin harus menunjukkan kepada para penduduk Selangor bahawa beliau boleh berbuat yang lebih baik bagi negeri itu, selain tanggapan penyokong dalam partinya bahawa beliau adalah seorang ahli politik yang pintar.

Ini yang menjadi masalahnya, kata para pengamat.



KESANNYA?

Orang awam kurang berminat terhadap isu dalaman PKR atau bagaimana Tan Sri Khalid boleh memperbaiki keupayaan institusi dan kewangan partinya.

Mereka menanggap Encik Azmin pula sebagai seorang ahli politik bercita-cita tinggi tetapi kurang 'isi' dan 'kesabaran', kata pengamat politik di Malaysia, Dr Ong Kian Ming.

Apa sekalipun, AP Bukit Antarabangsa itu kini perlu menggunakan jawatan barunya itu untuk menunjukkan bahawa beliau mempunyai visi jelas bagi Selangor.

Keputusan melantik Encik Azmin sebagai ketua PKR Selangor itu sebagai 'huraian jangka pendek' bagi meredakan pergolakan dalam pentadbiran Selangor, di samping membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang boleh diadakan tahun depan.

Tambahan pula, keadaan PKR sendiri agak meruncing, kata pengamat.

Sedang kedua-dua pemimpin berkenaan menunjukkan semangat perpaduan ketika bertemu para wartawan awal minggu ini sambil mengatakan bahawa pemisahan fungsi pentadbiran negeri dan pengendalian parti boleh membantu mereka memainkan peranan dengan lebih berkesan, para aktivis dan pengamat politik masih belum yakin.

Lazimnya, seorang menteri besar atau ketua menteri akan turut menjadi ketua parti negerinya bagi memastikan pengendalian parti negeri dan jentera pentadbirannya berjalan dengan licin.

Beberapa pengamat menegaskan, pelantikan Encik Azmin juga boleh melemahkan kedudukan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar dan 'menimbulkan lebih banyak masalah di masa depan'.

Ini kerana menteri besar itu mungkin perlu mendapatkan sokongan ketua partinya sebelum dasar-dasar negeri boleh dilaksanakan.

'Ia boleh meletakkan kepimpinan PKR dalam kedudukan berbahaya.

'Parti itu terpaksa menimbangkan kemungkinan berlakunya tengkarah yang boleh melemahkan lagi Tan Sri Khalid dan bagaimana ia boleh menjejas reputasinya... semua mata akan memandang ke arah pemilihan pemimpin parti itu, November ini,' kata Dr Ooi.

Mengulas langkah terbaru PKR itu, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo, semasa mengulas pelantikan Encik Azmin, berkata negeri Selangor kini 'sebuah kapal yang mempunyai tiga kapten'.

'(Jadi) kita punya Anwar sebagai penasihat ekonomi. Azmin bagi ehwal politiknya dan Khalid bagi pentadbirannya. Ia satu langkah yang salah,' tegasnya.

Namun, Adun Melawati PKR, Encik M. Muthiah, berkata 'ia satu langkah yang betul' kerana adanya penugasan kuasa pentadbiran negeri bagi Tan Sri Khalid dan kepimpinan parti bagi Encik Azmin.

AP Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Klang, Encik Charles Santiago, berkata tidak ada salahnya dengan pelantikan Encik Azmin, asalkan kedua-dua pemimpin itu boleh bergerak terus.

'Kedua-duanya harus mencapai kata sepakat secara persabahatan untuk bekerjasama,' ujarnya.

AP Shah Alam Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Khalid Samad, akur dengan pandangan Encik Santiago.

'Secara peribadi, saya percaya ia baik bagi Pakatan,' kata beliau.


KESIMPULANNYA

PKR harus berubah.

Ia harus menjalani perubahan menyeluruh, bukan setakat perubahan tugas tetapi perubahan lebih mendalam yang dapat mempengaruhi arah dan disiplin parti.

Hakikatnya, PKR yang satu ketika pernah menjadi 'perekat' pakatan pembangkang - membantu menyesuaikan dua parti dengan ideologi bertentangan, seperti PAS dan DAP - kini menjadi komponen terlemah pakatan itu.


No comments:

Posting Terkini