PHNOM PENH: Kemboja kelmarin menahan dua pengganas rakyat Thailand - seorang lelaki dan seorang wanita - yang disyaki ada kaitan dengan pergerakan Baju Merah dan terlibat dalam serangan bom di Bangkok bulan lepas.
Kemboja berkata lelaki itu dikenal pasti sebagai Boonplod Kobchai, dilahirkan pada 19 Julai 1967, manakala yang wanita dikenal pasti sebagai Boonsom Varissareeya, dilahirkan pada 30 September 1967.
Mereka berdua diberkas di wilayah Siem Reap, barat laut Kemboja, kata satu kenyataan Kementerian Luar Kemboja.
'Mereka melakukan serangan pengganas dengan melempar bom tangan di Bangkok pada 22 Jun lalu,' menurut kenyataan itu.
Menurut laporan, bom itu meletup di depan ibu pejabat Parti Bhumjaithai, yang merupakan parti komponen kedua terbesar dalam kerajaan pimpinan Encik Abhisit Vejjajiva.
'Meskipun belum ada permintaan daripada kerajaan Thailand, Kemboja memutuskan akan menahan dan menghantar mereka kembali ke Thailand,' kata kenyataan itu lagi.
'Ini menunjukkan kerajaan Kemboja sentiasa melaksanakan dasar antipengganasan dan bekerjasama dengan negara lain dalam memerangi pengganasan,' tambah kenyataan itu.
Kementerian Luar Kemboja berkata kedua-dua warga Thai itu akan diserahkan kepada kedutaan Thailand di Phnom Penh sekitar 10 pagi hari ini.
Keputusan Kemboja memberkas kedua-dua suspek itu kelihatannya sebagai satu percubaan membaiki semula hubungan kedua-dua negara yang menjadi tegang sejak tahun lepas.
Thailand dan Kemboja memanggil pulang duta besar masing-masing pada November tahun lalu selepas Phnom Pehn melantik mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat ekonomi dan enggan mengekstradisinya ke Thailand.
Ketegangan juga meningkat selepas berlaku pertempuran antara askar kedua-dua negara itu di kawasan sempadan yang dipertikaian, berhampiran candi purba Preah Vihear pada Julai 2008.
Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, mengkritik secara terbuka Perdana Menteri Thailand semasa Encik Thaksin melawat Kemboja. -- AFP.
Monday, July 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment