LAHORE: Dua pengebom nekad meletupkan diri di makam seorang tokoh sufi yang penuh sesak dengan jemaah di bandar ini, menyebabkan 43 orang terkorban dan 180 lagi cedera malam kelmarin.
Sumber hospital berkata 25 mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal.
Serangan ke atas makam Syed Ali bin Usman Hajweri, seorang tokoh sufi terkenal abad ke-17 yang lebih dikenali sebagai Data Ganj Bukhsh, adalah serangan kali kedua di Lahore dalam tempoh sebulan.
Ribuan jemaah sedang berhimpun di makam berkubah hijau itu apabila dua letupan bom berlaku selang beberapa minit.
Sorotan televisyen menunjukkan jemaah bertempiaran lari sewaktu kepulan asap hitam naik ke udara.
'Saya nampak mayat dan mangsa yang cedera bergelimpangan dengan darah tersimbah atas lantai,' kata seorang saksi.
Pihak berkuasa berkata mereka menjumpai kepala dua pengebom nekad itu, yang memakai serban hijau mirip serban pengikut sufi.
Polis sedang menyiasat bagaimana mereka menyusup masuk padahal kawalan keselamatan ketat.
'Kami memeriksa setiap orang di pintu masuk. Seorang lelaki yang mencurigakan melepasi gerbang, dan seorang pegawai keselamatan cuba mengejarnya. Tetapi dia sempat meletupkan diri,' kata Encik Rao Fazal-ur-Rehman, seorang pegawai tadbir di makam tersebut.
Sejauh ini belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab.
Jurucakap kumpulan Tehreek- e-Taliban Pakistan (TTP), menafikan mereka terlibat.
'Kami tidak bertanggungjawab di atas serangan ini. Ia satu komplot oleh agensi risik asing. Kami tidak menyerang tempat awam,' kata jurucakap TTP, Encik Azam Tariq, menerusi telefon kepada AFP.
'Kami mengutuk serangan kejam ini. Sasaran kami jelas. Kami hanya menyerang polis, askar dan kakitangan keselamatan,' tambah beliau.
Namun ramai rakyat Pakistan semalam berkata punca masalah ialah kehadiran tentera Amerika di Afghanistan dan serangan peluru berpandu ke atas militan di Pakistan.
'Amerika membunuh umat Islam di Afghanistan dan kawasan suku kaum di Pakistan. Militan melancar serangan sebagai meluahkan rasa marah terhadap pemerintah Pakistan yang menyokong Amerika,' kata Encik Zahid Umar, 25 tahun, seorang pengunjung tetap makam tersebut. -- Agensi.
Sunday, July 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment