Pages

Friday, July 9, 2010

Paderi homoseksual

LONDON: Seorang paderi yang secara terbuka mengaku beliau homoseksual telah dihalang menjadi biskop Gereja England.

Ini disebabkan kebimbangan pelantikannya akan menjejas gereja Anglican, menurut laporan kelmarin.

Paderi Jeffrey John disebut-sebut akan menjadi Biskop Southwark di London selepas beliau tersenarai dan mendapat sokongan jemaah gereja setempat, lapor akhbar The Times dan Telegraph.

Namun jawatankuasa pemilihan, yang termasuk Biskop Besar Canterbury, Encik Rowan Williams, ketua 77 juta penganut Anglican di seluruh dunia, menolak pelantikan itu.

Paderi John, yang sekarang Dekan St Albans, mengaku beliau homoseksual dan menjalin perkongsian sivil pada 2006, namun menjalani kehidupan sebagai seorang bujang.

Banyak pihak sebelum ini memberi amaran pelantikan beliau akan menjejas Gereja England.

'Kami rasa jika pelantikannya dibenarkan maka perpecahan, seperti yang berlaku di Amerika, akan berlaku di sini,' kata Paderi Paul Dawson, jurucakap kumpulan penganut konservatif, Reform.

Penolakan Paderi John berlaku sedang Biskop Besar Williams berusaha menyatupadukan jemaah Anglican di tengah-tengah ketegangan berhubung pelantikan lelaki homoseksual dan wanita sebagai biskop.

Beliau sebelum ini menentang pelantikan biskop homoseksual dan wanita lesbian di Amerika Syarikat.

Isu pelantikan biskop wanita mencetuskan juga ketegangan di Gereja England. -- AFP.


No comments:

Posting Terkini