Pages

Friday, November 27, 2009

Tetamu tak diundang hadiri majlis Rumah Putih

WASHINGTON: Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat berkata ia sedang menyiasat bagaimana dua individu yang tidak diundang boleh menembusi beberapa peringkat kawalan keselamatan dan memasuki Rumah Putih.

Pasangan itu kemudian menghadiri jamuan malam yang diadakan untuk Perdana Menteri India, Encik Manmohan Singh.

Jurucakap Perkhidmatan Rahsia yang bertanggungjawab atas kawalan keselamatan di Rumah Putih, Encik Edwin Donovan, berkata:

'Siasatan awal mendapati salah satu pusat pemeriksaan tidak mematuhi prosedur yang betul untuk memastikan dua individu yang dikenal pasti dalam rencana yang ditulis di akhbar The Washington Post, termasuk dalam senarai mereka yang diundang.'

Encik Donovan bagaimanapun menegaskan pasangan itu kemudian melalui beberapa pusingan pemeriksaan keselamatan seperti para undangan yang lain.

Beliau turut menegaskan tiada sesiapa yang berada dalam bahaya ekoran perbuatan pasangan itu.

Menurut laporan akhbar The Washington Post, pasangan itu dikenal pasti sebagai Encik Tareq Salahi dan Cik Michaele Salahi, yang berasal dari bandar utara Virginia dan bercita-cita menjadi pelakon dalam rancangan realiti televisyen.

Mereka telah berada di bilik yang sama dengan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, dan Encik Singh.

Namun tidak diketahui sama ada pasangan itu kemudian bertemu dengan kedua-dua pemimpin itu.

Kedua-dua mereka telah mendedahkan kejayaan mereka memasuki Rumah Putih di laman web sosial Facebook mereka.

Dalam laman itu, terdapat gambar mereka bersama Naib Presiden, Encik Joe Biden, Ketua Turus Rumah Putih, Encik Rahm Emanual, dan penyampai berita, Katie Couric. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini