Pages

Monday, November 9, 2009

Serangan udara Nato yang 'tersilap' disiasat

KABUL: Amerika Syarikat dan pihak berkuasa Afghanistan kini menjalankan siasatan berhubung kematian tujuh askar dan polis Afghanistan akibat serangan udara yang 'tersilap' oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Serangan itu berlaku semasa tentera Nato dan Afghanistan, yang mencari dua askar payung terjun Amerika yang hilang, bertempur dengan gerila Taleban di wilayah Badghis, yang bersempadan dengan Turkmenistan, di barat Afghanistan.

Dua hari sebelumnya, dua askar payung terjun Amerika hilang semasa cuba mengambil bekalan yang jatuh ke sungai selepas digugurkan pesawat tentera. Ada laporan berkata mereka dihanyutkan arus deras.

Pertempuran berlaku antara pasukan pencari dengan gerila Taleban kata tentera Amerika.

Akibat serangan udara Nato itu, lapan askar, tiga polis dan seorang jurubahasa terkorban.

Seramai 17 askar dan polis Afghanistan, lima askar Amerika dan seorang jurubahasa turut cedera.

Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata korban jiwa dan kecederaan itu besar kemungkinan berlaku semasa satu serangan udara oleh tentera Nato.

Pegawai Amerika yang enggan mengesahkan perkara itu, berkata dalam satu kenyataan bahawa satu siasatan bersama sedang dijalankan bagi menentukan sama ada korban jiwa disebabkan 'sokongan serangan udara' oleh Nato.

'Siasatan akan diteruskan. Kami dan Nato sedang menyiasat insiden itu,' kata jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Jeneral Mohammad Zahir Azimi, kepada AFP.

Menurut Jeneral Azimi, empat askar dan tiga polis Afghanistan terkorban dalam serangan udara itu, yang bertujuan membantu operasi memerangi Taleban di wilayah Badghis, di barat Afghanistan.

'Kami tahu mereka terbunuh dalam satu serangan udara. Kami sedang menyiasat insiden itu untuk mengetahui kenapa mereka diserang supaya insiden serupa tidak berulang,' tambahnya.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Encik Zemarai Bashary, berkata mereka juga sedang menjalankan siasatan.

'Kami sebahagian daripada siasatan bersama antara Nato, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.' katanya.

Panglima Taleban turut mengesahkan serangan udara yang 'silap' itu.

'Jumaat lalu, mereka (askar Nato) datang bersama askar Afghanistan, mencari askar yang mati. Lalu terjadi pertempuran selama setengah atau satu jam,' kata Farouk, panglima Taleban.

'Apabila pesawat datang, kami pun berpecah. Mereka mengebom tempat askar Afghanistan dan Nato bertempur. Banyak yang terkorban,' katanya.

Seorang lagi jurucakap Taleban, Encik Qari Yousuf Ahmadi, berkata tiga anggota Taleban terkorban dan lima cedera. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini