MAKKAH: Para pekerja di kota suci ini bertungkus-lumus menyiapkan projek prasarana bagi mengelakkan kejadian rempuhan yang membawa maut sedang sekitar tiga juta umat Islam meneruskan ibadah haji mereka semalam.
Pihak berkuasa Arab Saudi sedang melaksanakan projek peluasan dan ubah suai besar-besaran di seluruh kota suci Makkah, terutama di kawasan Masjidil Haram, bagi menampung bilangan jemaah haji yang semakin bertambah setiap tahun.
Datuk Bandar Makkah, Encik Osama Al-Bar, dalam wawancara dengan stesen televisyen Al-Jazeera berkata sejumlah AS$125 bilion ($172 bilion) dijadual dibelanjakan di bawah projek berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membesarkan infrastruktur dan tempattempat suci di Makkah.
'Makkah sudah mengalami perubahan pesat sejak dua tahun lalu dan projek yang akan memberi kesan paling besar kepada Makkah dalam tempoh terdekat ialah peluasan Masjidil Haram. Projek mega ini akan menghasilkan pertambahan keluasan kira-kira 400,000 meter persegi,' kata beliau.
Selain itu, projek-projek mega turut dijalankan bagi memperbaiki kemudahan awam dan infrastruktur, serta di tempat-tempat suci di Mina, Padang Arafah dan Muzdalifah.
'Jika kami bercakap mengenai jalanjalan awam dan projek mega dalam sektor perumahan dan infrastruktur, lebih 40 projek sudah disediakan,' ujar Encik Osama.
Menurut beliau, kerajaan Saudi berasa perlu untuk meluaskan Masjidil Haram memandang agama Islam semakin tersebar di serata dunia dan bilangan umat Islam dijangka bertambah sekali ganda dalam tempoh tiga dekad akan datang.
'Dengan kedatangan umat Islam dari seluruh dunia ke Makkah untuk mengerjakan haji dan umrah setiap tahun, kerajaan perlu bertindak bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah,' katanya.
Beliau mengakui menghadapi dua cabaran besar dalam melaksanakan begitu banyak projek secara serentak.
Satu daripada kesulitan itu ialah membesarkan infrastruktur bagi menampung peluasan Masjidil Haram dan tempattempat suci, katanya.
'Untuk tujuan itu, kami memerlukan lebih banyak dana bagi membiayai projek dan infrastruktur yang akan menarik penyertaan sektor swasta menerusi kerjasama dengan sektor awam,' jelas beliau.
Cabaran kedua ialah topografi Makkah itu sendiri, kota suci yang dibina di kawasan lembah dan pergunungan.
'Oleh kerana itu kami memerlukan kepakaran khas dalam membina terowong dan menangani keadaan sukar seperti itu, dan dalam hal ini kami membawa masuk kepakaran asing, terutama dari negara Islam lain seperti Turkey dan Pakistan,' katanya. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment