Pages

Saturday, November 28, 2009

Anak majikan parah lepas amah hempas ke lantai

TANJUNG MALIM (Perak): Seorang pembantu rumah menyentap kaki anak majikannya yang berusia setahun lapan bulan yang sedang nyenyak tidur atas katil lalu menghempasnya ke lantai sebelum menghumbannya ke ruang tamu, Selasa lalu.

Dalam kejadian 6 petang di Jalan Kempas, Bandar Proton, dekat sini, pembantu rumah warga Indonesia berusia 30-an tahun yang bagai dirasuk itu didakwa menghumban kanak-kanak berkenaan, Allysa Idrina Azizan, ke ruang tamu dengan menarik rambutnya sehingga kedua-dua kaki mangsa terangkat.

Ketika kejadian, hanya mangsa dan adik lelakinya yang baru berusia tujuh bulan berada di rumah, manakala ibu bapa mereka belum pulang daripada kerja.

Akibat perbuatan itu, mangsa cedera parah di muka dan pipi serta pendarahan di mata kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Mohd Ali Mat Nayan, berkata perbuatan pembantu rumah tersebut dibongkar ibu mangsa yang terkejut sebaik melihat muka dan pipi anaknya lebam manakala mata kanannya berdarah sejurus pulang daripada kerja pada malam kejadian.

Beliau berkata, ibu mangsa yang bekerja di Institut Tanah dan Ukur Negara di sini, memaklumkan perkara itu kepada suaminya yang bekerja di sebuah bank di Teluk Intan, sebelum membawa mangsa ke sebuah klinik ditemani pembantu rumahnya itu, Lilis Paridawati, 30 tahun, dari Bandung, Indonesia.

Perbuatan pembantu rumah itu terbongkar selepas ibu bapa mangsa meneliti rakaman video daripada CCTV yang dipasang di rumahnya pada malam sama, menurut Supt Mohd Ali. -- Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini