KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA akan diadakan pada 4 dan 5 Disember ini seperti yang dijadualkan, kata Pengerusi Biro Penerangan dan Komunikasi MCA, Senator Heng Seai Kie, hari ini.
Menjelaskan kekeliruan yang timbul, Heng dalam satu kenyataan, berkata tiada langsung rancangan untuk menjadualkan semula AGM dengan menundanya ke satu tarikh lain.
"Ibu pejabat MCA menerima banyak pertanyaan sama ada mesyuarat agung tahunan MCA yang dijadualkan pada 4 dan 5 Disember akan ditunda.
“Saya dengan ini menegaskan bahawa AGM bagi tahun 2009 akan berlangsung seperti yang dijadualkan iaitu 4 Disember untuk Pergerakan Pemuda dan Wanita MCA, manakala 5 Disember bagi MCA induk," katanya.
Heng, yang juga ahli Jawatankuasa Pusat MCA, berkata sebarang cadangan bagi AGM itu ditunda hanya bertujuan untuk mengelirukan semua perwakilan pusat dan memecahbelahkan parti.
Katanya, dakwaan penundaan AGM itu tidak benar dan mereka yang melakukan dakwaan itu tidak bertanggungjawab kerana meletakkan parti dalam situasi bahaya dan boleh mengakibatkan MCA dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Heng menyeru semua perwakilan pusat MCA supaya tidak mengendahkan cakap-cakap politik seumpamanya dan menghadiri AGM seperti yang dijadualkan demi kepentingan perpaduan parti.
Beliau berkata, notis untuk mengadakan AGM telah dikeluarkan mengikut perlembagaan MCA. - Bernama
Friday, November 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment