HUJAN LEBAT: Jemaah haji meredah hujan lebat di jalan raya yang dilanda banjir di Makkah, kelmarin. -- Foto AP.
JEDDAH: Banjir kilat disebabkan hujan lebat di barat Arab Saudi mengorbankan 48 orang manakala lebih 900 lagi diselamatkan daripada dihanyutkan arus deras, kata pihak berkuasa pertahanan awam, menurut agensi berita rasmi SPA semalam.
Menurut mereka, 44 orang terkorban di Jeddah, manakala empat lagi di Makkah.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Saudi, Brigedier Jeneral Mansour al-Turki, berkata angka korban itu tidak melibatkan jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji.
Menurut akhbar Arab News ramai jemaah terkandas di beberapa tempat antara Mina dengan Makkah, kelmarin.
Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pusat Haji, bagaimanapun berkata bahawa semua jemaah telah selamat tiba di Mina meskipun berlaku hujan lebat di Makkah dan Mina.
Hujan selebat 90 milimeter yang melanda Jeddah Rabu lalu menyebabkan jalan raya dan terowong ditenggelami air, malah beberapa rumah lama turut roboh, lapor SPA.
Kawasan paling teruk terjejas banjir ialah daerah Quwazah dan Abraq Al-Raghama ke timur lebuh raya Jeddah-Makkah.
Di Abraq Al-Raghama, dekat universiti, penduduk naik ke bumbung untuk menyelamatkan diri. Di daerah Safa pula bekalan elektrik terputus sejak dua pagi Rabu lalu. Bekalan belum pulih sekitar 8 malam kelmarin, menyebabkan penduduk menggunakan lilin.
Tiga helikopter dan beberapa bot getah terlibat dalam operasi menyelamat yang dijalankan pasukan pertahanan awam.
Sorotan televisyen menunjukkan bas-bas hampir tenggelam dalam terowong di Jeddah, sementara para penyelam berusaha menyelamatkan para pemandu yang terkandas.
Gabenor Jeddah, Putera Mishaal bin Majed, mengarahkan bilik kawalan darurat didirikan untuk memantau keadaan setiap 12 jam.
Ketua Pengarah Kesihatan di Jeddah, Dr Sami Badawood, kelmarin memberitahu Arab News bahawa satu darurat perubatan telah diisytiharkan di Jeddah.
'Semua hospital di Jeddah diletak dalam keadaan berjaga-jaga tetapi Hospital Rabigh dikhaskan bagi menampung mangsa banjir,' tegas beliau.
Dalam masa yang sama, hujan lebat tidak mematahkan semangat 2,180 jemaah haji Singapura berwukuf di Padang Arafah.
Semasa dihubungi wartawan Berita Harian, Chairul Fahmy Hussaini, menerusi panggilan jauh pagi semalam, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, berkata jemaah Singapura rata-rata berada dalam keadaan sihat dan perjalanan haji sejauh ini adalah baik, dengan kesemua mereka telah pun berada di Arafah.
'Hujan lebat juga telah menjejas sedikit khemah-khemah penginapan jemaah di Arafah dan Mina. Disebabkan itu, permaidani-permaidani yang digunakan ada yang perlu diganti dengan kanvas.
'Amtas juga telah menyediakan para jemaah dengan beg tidur, jadi jemaah kita tidak begitu terjejas dengan hujan itu,' katanya.
Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, semasa dihubungi berkata, hujan lebat berlaku antara 10.30 pagi hingga sekitar 1 petang (waktu Saudi) dan sesudah itu renyai-renyai hingga ke petang.
'Jemaah kini berada di Arafah dan mereka akan berangkat ke Mudzalifah selepas maghrib sebelum menuju ke Mina,' ujarnya.
Kumpulan pertama jemaah haji Singapura dijadualkan selesai mengerjakan haji dan tiba di tanah air pada 4 Disember ini.
Kumpulan terakhir dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 24 Disember.
Friday, November 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment